Aizat Sharif


Kangar: Dua penjawat awam kerajaan negeri Perlis termasuk pegawai kanan Menteri Besar yang disiasat atas dakwaan memalsukan dokumen bagi tujuan tuntutan palsu, diarah cuti daripada bertugas.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, mereka daripada enam individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua minggu lalu dengan empat individu lagi adalah kontraktor.

"Dua penjawat awam negeri ini sudah pun bercuti daripada tugasan mereka selepas dibebaskan (dengan jaminan), manakala yang lainnya bukan penjawat awam.

"Berkemungkinan yang lain itu sudah pun jalankan perniagaan (seperti biasa)," katanya secara ringkas ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Sebelum ini, enam individu berusia antara 27 hingga 37 tahun, termasuk anak kepada Mohd Shukri ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Dua penjawat awam yang ditahan adalah pembantu juruteknik di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan seorang pegawai kanan kepada Menteri Besar.

ENAM suspek yang ditahan untuk siasatan SPRM minggu lalu. FOTO NSTP.
ENAM suspek yang ditahan untuk siasatan SPRM minggu lalu. FOTO NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 4:47 PM