DR V Sunder  pada sidang media, semalam.
DR V Sunder pada sidang media, semalam.

Shah Alam: Kerajaan negeri digesa memastikan pemaju perumahan tidak sesuka hati menaikkan harga rumah mampu milik sehingga lebih RM120,000 seunit.

Presiden Kelab Harmoni Selangor (KHS) Dr V Sunder berkata, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu memastikan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memainkan peranan untuk mengawal selia harga rumah khususnya skim Rumah Selangorku.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada pembeli yang kecewa apabila pangsapuri di Damai Utama, Puchong menaikkan harga rumah daripada RM42,000 kepada RM73,000 seunit dengan alasan terdapat beberapa pengubahsuaian.

“Tindakan pemaju ini sememangnya akan membebankan pembeli kerana majoriti mereka berpendapatan rendah dan tidak mampu membayar ansuran bulanan yang tinggi.

“Pemaju perlu dipantau kerana tindakan ini sememangnya menindas pembeli kerana ia dibuat tanpa sebarang persetujuan bersama,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Katanya, pangsapuri Damai Utama yang mempunyai kira-kira 700 unit dan tujuh blok dikategorikan sebagai rumah kos rendah dan dibina di bawah skim Rumah Selangorku pada 2009.

Menurutnya, Mohamed Azmin juga perlu memastikan rumah mampu milik yang dibina dijual pada harga tidak melebihi RM120,000 seunit kerana kini pemaju dilihat lebih gemar membina rumah pada harga lebih RM200,000.

“Dengan harga mencecah RM200,000 hingga RM300,000 seunit, golongan berpendapatan rendah malah sederhana juga tidak mampu memilikinya kerana sukar mendapat pinjaman daripada institusi kewangan.

“Jadi kerajaan negeri perlu pantau supaya rumah yang dibina turut memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memilikinya,” katanya.

Tambahnya, LPHS juga digesa supaya tidak mengenakan syarat terlalu ketat kepada pemohon skim Rumah Selangorku kerana ada diantara mereka yang terpaksa memperbaharui permohonan untuk satu tempoh yang lama sedang masih belum memiliki rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 7:59 AM