AZMIN melihat model rumah mampu milik yang dilancarkan PKNS.
AZMIN melihat model rumah mampu milik yang dilancarkan PKNS.
Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Rakyat negeri ini bakal memiliki rumah sendiri selepas Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan satu lagi projek rumah mampu milik terbarunya iaitu ‘Rumah Selangorku Idaman PKNS’ di Kampung Seri Temenggung, Gombak.

Sebanyak 418 unit pangsapuri 12 tingkat bakal dijual pada harga bermula RM165,000 seunit mengikut keluasan tapak dan dijangka siap pada suku kedua 2019.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS Ishak Hashim berkata, projek kali ini menampilkan keistimewaan yang mana 10 unit rumah dikhaskan untuk orang kelainan upaya (OKU).

“Ia akan memberi keuntungan kepada pembeli kerana mereka bakal memiliki kediaman yang selesa pada harga berpatutan.

“Setiap unit bakal tampil dengan reka bentuk moden dengan keluasan lantai berukuran 850 kaki persegi serta dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air,” katanya dalam satu kenyataan.

Ishak berkata, projek di tanah rizab Melayu dengan keluasan kira-kira tiga hektar itu akan dibina pada April 2016 dan ia memerlukan kos sebanyak RM100 juta.

Beliau berkata, selain daripada rumah mampu milik, PKNS juga membangunkan 42 unit lot kedai di tapak sama sebagai kemudahan kepada penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, antara kemudahan lain yang disediakan seperti surau, dewan serbaguna, bilik serbaguna, bilik bacaan, bilik mesyuarat, tadika, pejabat pengurusan bangunan, kawasan lapang, taman permainan dan gelanggang badminton.

Majlis pelancaran projek itu disempurnakan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

Hadir sama Pengurus Besar PKNS Azlan Md Alifah.

Sementara itu Ishak berkata, orang ramai yang berminat boleh mendaftar dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta perlu memenuhi syarat ditetapkan oleh Dasar Perumahan Mampu Milik.

“Syarat permohonan ialah pendapatan bulanan isi rumah tidak lebih dari RM8,000 sebulan, tidak memiliki sebarang kediaman lain di Selangor dan tujuan pembelian adalah semata-mata untuk mendiami bukan disewakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 9:47 AM