MD Kamarzan
MD Kamarzan

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan untuk membina sehingga 30,000 unit rumah mampu milik dalam usaha membuka peluang kepada golongan muda memiliki rumah kediaman sendiri menjelang 2030.

Projek mampu milik yang dimulakan melalui program Rumah Selangorku itu dimulakan sejak tiga tahun lalu dan proses pembangunannya masih lagi di peringkat awal dengan pembinaan 4,000 unit yang dikawal selia Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Pengurus Besar PKNS-Andaman Development Sdn Bhd, Md Kamarzan Md Rais berkata, jenis pembangunan bergantung kepada lokasi dan kawasan, namun ia ditawarkan dengan harga di bawah RM250,000 seunit.

“Model rumah ini adalah inisiatif murni bagi memenuhi permintaan rumah mampu milik dan golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama.

“Jika di Kuala Lumpur, kita mempunyai projek pembangunan rumah mampu milik kategori kediaman bertingkat dengan jumlah 600 unit di Kampung Temenggung, namun mereka harus berdaftar dengan LPHS terlebih dahulu,” katanya sempena Pameran Hartanah MyRumah, di sini, baru-baru ini.

MyRumah yang dianjurkan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) dengan kerjasama Andaman Group diadakan di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur, selama tiga hari bermula 8 Januari ini.

Selain mempamerkan unit kediaman sekitar RM500,000 ke bawah, pengunjung berpeluang mempelajari selok-belok dunia hartanah menerusi forum yang menonjolkan 18 individu berpengaruh dalam industri.

Ia adalah platform terbaik untuk peserta industri hartanah dan pelabur amatur mempelajari taktik pelaburan hartanah daripada pakar industri hartanah serta tip mengenali kesempatan serta peluang pelaburan berpotensi.

Kamarzan berkata, dalam pameran hartanah itu PKNS-Andaman Development, syarikat kerjasama dalam bidang pembangunan hartanah turut menawarkan 40 unit dupleks kepada orang ramai yang berminat dengan tawaran RM770,000 untuk setiap unit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 6:52 AM