PENUNTUT UiTM Melaka bersama murid pendidikan khas.
PENUNTUT UiTM Melaka bersama murid pendidikan khas.

Berinteraksi dengan kanak-kanak menggunakan bahasa isyarat adalah pengalaman bermakna buat penuntut Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka.

Seramai 57 pelajar berpeluang merasai pengalaman terbabit menerusi program Misi Rona Jiwa Anak Istimewa di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas, di Seremban, baru-baru ini.

Untuk memastikan isyarat disampaikan itu betul, peserta perlu mempelajari kaedah berkomunikasi di universiti terlebih dahulu.

Ketua program, Anwar Mohamad Aszahar berkata, tujuan utama program adalah memenuhi silibus pengajian mereka.

“Pemilihan lokasi adalah untuk memberi sumbangan sosial dan meraikan anak istimewa di samping memberi peserta peluang menggunakan bahasa isyarat.

“Terdapat 52 murid di sekolah ini yang menghadapi pelbagai masalah seperti penglihatan, pendengaran dan pembelajaran.

“Dengan itu, peserta perlu mengetahui maksud gerak-geri anggota badan sebelum berkomunikasi dengan murid terbabit. Ia secara langsung memberi pengalaman bermakna buat kami apabila berada bersama komuniti berkenaan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Melaka Dr Rani Diana Othman dan Guru Besar SK Pendidikan Khas Seremban Siti Zahrah Ishak.

Anwar berkata, pada program itu, pelbagai aktiviti diatur untuk memberi keceriaan dan kegembiraan murid berkenaan.

“Kami bukan sahaja membuat persembahan dan bermain bersama mereka, malah turut menjalankan aktiviti sosial seperti bergotong-royong membersihkan persekitaran sekolah, mengecat dan menambah fasiliti di surau dan perpustakaan sekolah itu.

“Kami amat terharu kerana program ini memberi impak kepada murid yang bertanya bilakah kami akan ke sekolah itu lagi dan mendapat pujian guru sekolah itu.

“Keadaan ini secara langsung mendidik kami menjiwai hati kanak-kanak tidak mempunyai deria yang sempurna ini,” katanya.

Sementara itu, Rani Diana berkata, pendekatan yang diambil penuntut dengan mendekati golongan sebegini adalah wajar dalam memberi murid ini tidak merasai dipinggir masyarakat.

“Penuntut juga dapat mendalami suasana berbeza dengan berada dalam komuniti itu di mana perlu berinteraksi sepenuhnya menggunakan bahasa isyarat.

“Kita juga mengharapkan selepas mereka bergelar graduan kelak akan meneruskan aktiviti kebajikan seumpama ini dan mempunyai sifat insaniah yang tinggi.

Dalam pada, seorang murid, Khalil Muhamili, 8 berkata, sebelum ini sekolahnya jarang dihiburkan dengan aktiviti persembahan, nyanyian dan sukan.

“Kehadiran akak dan abang (penuntut) menukar suasana lebih ceria dan yang paling seronok pelbagai kek dan juadah yang disediakan.

“Mereka juga tidak jemu melayan kerenah saya dan rakan apabila sanggup bermain dan makan bersama kami,” katanya yang mengalami masalah saraf penglihatan. -Khairul Najib Asarulah Khan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 4:22 AM