Oleh Mahaizura Abd Malik


Dakwah guna bahasa isyarat

Puchong: Ketika nikmat pendengarannya ditarik pada usianya lapan tahun akibat demam panas, Mohd Azhar Ismail yang dilahirkan normal menghadapi kesukaran untuk melakukan rutin harian termasuk belajar dan berinteraksi dengan orang sekeliling.

Kini, pada usia 50 tahun, Mohd Azhar menyedari ujian itu mempunyai hikmah tersendiri apabila dia berpeluang menabur bakti dengan menyebarkan dakwah kepada golongan senasib dengannya.

Menurut bapa kepada empat anak berusia 12 hingga 22 tahun itu, dia mula menyertai Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan pemantapan Islam kendalian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 1990 dengan dibantu khidmat jurubahasa isyarat.

"Matlamat saya pergi kelas agama mahu jadi macam orang normal kerana semasa zaman sekolah memang kurang akses pendidikan agama untuk golongan macam saya, jadi saya tak putus asa terus mendalami ilmu agama dengan bersungguh-sungguh.

"Ditakdirkan, pada 2012 saya dipanggil Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, mereka bertanya sama ada saya berminat menjadi pendakwah golongan pekak dan saya perlu melalui pelbagai sesi saringan dan menghadiri banyak kursus sebelum akhirnya layak ditauliahkan sebagai pendakwah bebas sampai sekarang," katanya ketika ditemu bual dengan bantuan jurubahasa isyarat Malaysia, Noor Haseken P Rameli dan Haryanti Abdul Rahman.

Mohd Azhar berkata, dia kerap menambah baik dan memantapkan ilmu agamanya seiring dengan peredaran masa bagi memastikan ilmu dakwahnya relevan.

"Pada 2014, saya berpeluang menyertai satu program anjuran Global Deaf Muslim Federation di Qatar selepas ditaja Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Dari situ, saya bertemu dengan ramai pendakwah dan rakan dari luar negara seperti Arab Saudi, Qatar, Yaman, Jordan, Mesir dan Oman, malah sampai sekarang kami sering berhubung bagi bertukar-tukar ilmu dan pandangan termasuk mempelajari bahasa isyarat huruf hijayyah untuk mendalami al-Quran.

"Di Malaysia bahasa isyarat untuk huruf hijayyah belum meluas berbanding di luar negara yang mana standard pembelajaran agama golongan seperti kami di sana setaraf dengan orang normal," katanya.

Katanya, dia menanam impian menyebarkan dakwah bukan hanya di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.

"Selagi hidup dan ada tenaga, saya tidak akan putus asa untuk menyebarkan dakwah bagi memastikan golongan kami tidak ketinggalan.

"Setakat ini, saya sering dipanggil memberi ceramah dan mengajar kelas agama untuk golongan senasib serta ibu bapa normal yang mempunyai anak pekak.

"Malah, saya juga aktif berkongsi ilmu agama di platform media sosial kepada pengikut saya dalam dan luar negara, malah ada antara mereka (pengikut bukan Islam) terbuka hati memeluk Islam," katanya.

Berkongsi mengenai keluarganya, Mohd Azhar berkata, dia mendapat sokongan sepenuhnya daripada isterinya yang juga pekak serta empat anak normal mereka.

"Walaupun saya dan isteri pekak, kami tiada masalah berkomunikasi dengan anak-anak kerana kami sekeluarga berinteraksi menggunakan bahasa isyarat.

"Alhamdulillah, setakat ini keluarga memahami minat dan tugas saya, malah anak kedua juga kerap menemani dan bertindak menjadi jurubahasa isyarat di lapangan," katanya.

Lahir pelapis pendakwah bantu golongan istimewa

Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (Prisma) giat merangka pelbagai program untuk melahirkan pelapis pendakwah dalam usaha membantu golongan istimewa itu mendalami Islam dengan lebih mudah.

Yang Dipertuanya Aqlam Jafri berkata, golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran memerlukan kaedah pembelajaran khusus kerana sukar memahami penyampaian konvensional berbanding orang normal.

"Golongan ini memang mahu belajar agama, namun tiada kaedah sesuai untuk memberi pemahaman mengikut keadaan mereka yang berdepan kekangan komunikasi serta latar belakang pendidikan dan keluarga yang tidak menitik beratkan agama selain kemudahan tidak mencukupi seperti program keagamaan di media sosial dan televisyen tiada sisipan jurubahasa isyarat.

"Sebenarnya golongan seperti kami memerlukan pengajaran berdasarkan visual, gambar dan video yang lebih mudah untuk difahami.

"Kita tak boleh terangkan misalnya solat jamak macam ajar orang normal, sebaliknya golongan ini perlu diajar secara amali dan memerlukan kemahiran komunikasi yang baik termasuk penggunaan bahasa isyarat," katanya.

Katanya, objektif penubuhan Prisma pada 21 Januari 2011 berperanan melahirkan pendakwah bagi menyantuni golongan pekak dalam aspek agama.

"Di Malaysia terdapat kira-kira 20,000 orang pekak beragama Islam berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan saya anggarkan secara keseluruhannya masih ramai belum cukup mengikuti kelas dakwah dan kekurangan pendakwah khas untuk mengajar golongan ini.

"Daripada maklumat kita kumpulkan, golongan ini kebanyakannya bukan sekadar mahu belajar asas Islam saja, malah berminat menjadi pendakwah bebas.

"Namun, untuk sampai ke tahap sebagai pendakwah bukan mudah, banyak perlu dilalui termasuk mendalami ilmu agama dan mendapat pentauliahan daripada pihak bertauliah bagi memastikan betul-betul layak dan mengelak menyebar ajaran sesat.

"Mengikut rekod, Malaysia hanya ada lima pendakwah yang mendapat tauliah Jabatan Mufti untuk mengajar golongan ini dengan saya salah seorang daripada mereka. Ini menunjukkan, kita memerlukan lebih ramai lagi pendakwah serta jurubahasa isyarat," katanya kepada Harian Metro.

Sesi temuramah bersama Harian Metro itu dibantu jurubahasa isyarat Malaysia, Noor Haseken P Rameli dan Haryanti Abdul Rahman.

Di samping melahirkan pelapis pendakwah bertauliah katanya, Prisma kini dalam usaha mengadakan lebih banyak kursus pemantapan, kelas fardu ain, tafsir al-Quran dan pembelajaran asas tentang Islam untuk memastikan golongan berkenaan tidak ketinggalan dan mengelak dipengaruhi ajaran sesat.

"Prisma sudah terbitkan buku bahasa isyarat, insya-Allah boleh bantu orang pekak belajar bahasa isyarat asas dalam Islam seperti rukun Iman dan Islam, fardu ain, cara tunai solat, korban dan sebagainya. Cuma dalam aspek pembelajaran al-Quran, kita fokus kepada tafsir dulu kerana golongan ini tiada suara, jadi agak sukar untuk menyemak bacaan mereka.

"Kita juga sedang memohon bantuan kewangan untuk mengadakan lebih banyak kursus pemantapan, menambah buku isyarat berkaitan Islam untuk remaja dan dewasa mengikut tajuk khusus dan dekat dengan masyarakat bagi memudahkan pemahaman mereka.

"Selain itu, kita memanfaatkan saluran media sosial untuk membantu anak-anak pekak mendalami Islam lebih awal supaya mereka tidak ketinggalan dan mengelak terjebak dengan ajaran sesat," katanya.

Katanya, Prisma juga bekerjasama dengan pihak lain termasuk Jabatan Agama Islam negeri, Jabatan Mufti, Masjid Negara dan masjid-masjid serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi melahirkan pendakwah dan mengajar orang pekak terutama mualaf.

"Kita bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam negeri untuk mengislamkan golongan ini yang berminat memeluk Islam.

"Di bawah Prisma saja, ada 30 orang pekak berjaya memeluk Islam.

"Cabaran sekarang banyak ajaran sesat, jadi kita cuba pantau mereka daripada terjebak dengan mengadakan kelas agama setiap minggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 12:00 PM
MOHD Azhar berkongsi ilmu agama menggunakan bahasa isyarat. FOTO Fathil Asri
MOHD Azhar berkongsi ilmu agama menggunakan bahasa isyarat. FOTO Fathil Asri