TANGKAP layar video tular daripada media sosial milik Abidul Hazman. FOTO Ihsan Abidul Hazman Adam
TANGKAP layar video tular daripada media sosial milik Abidul Hazman. FOTO Ihsan Abidul Hazman Adam
Redzuan Muharam


Ipoh: Keinginan bersembang dan menyelami isi hati Orang Kurang Upaya (OKU) pekak serta bisu mendorong anggota bomba, Abidul Hazman Adam mempelajari bahasa isyarat.

Abidul Hazman, 32, yang bertugas sebagai anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, di sini mengambil inisiatif belajar bahasa isyarat kira-kira tujuh bulan lalu.

Menurut Abidul Hazman, dia tidak mengikuti kelas secara formal tetapi belajar sendiri dengan berpandukan buku Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).

"Ikutkan, saya tiada ahli keluarga atau rakan terdekat OKU kategori pekak dan bisu tetapi ada keinginan belajar bahasa isyarat. Awalnya belajar dengan menonton video di Youtube kemudian rujuk buku bahasa isyarat dipinjam daripada seorang guru di sekolah pendidikan khas.

"Minat (belajar) itu semakin bertambah selepas saya bekerja sambilan sebagai pemandu e-hailing dan jumpa penumpang OKU. Nak bersembang tetapi mereka guna bahasa isyarat dan bila tak boleh komunikasi (dalam bahasa isyarat) buat saya berasa lemah jadi itu faktor mendorong saya untuk belajar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Selain berpandukan buku, Abidul Hazman turut mendapat bantuan beberapa rakan jurubahasa yang mahir dalam bahasa isyarat.

Abidul Hazman mengakui tidak terlalu sukar untuk belajar bahasa isyarat malah dia mengambil masa tiga bulan untuk mahir.

"Setiap kali tak faham, saya akan tanya dan mereka (oku) bantu betulkan. Mereka berterus terang saja dan saya pula terima teguran untuk perbaiki diri," katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Abidul Hazman berkata, video dimuat naik adalah untuk simpanan sendiri kerana mahu jadikannya rujukan seandainya terlupa di kemudian hari.

"Saya mula aktif di TikTok dengan memuat naik video terjemahan perkataan ke bahasa isyarat dan ia dapat perhatian komuniti OKU.

"Kemudian, saya live (siaran langsung) dengan mereka di platform itu dan apabila dapat tahu saya pandai guna bahasa isyarat, mereka (OKU) teruja malah lagi nak ajar saya.

"Setakat ini, penerimaan pengikut di TikTok positif malah saya sudah jadi seperti penterjemah kepada orang normal yang turut tertarik untuk belajar apabila lihat video saya berbahasa isyarat," katanya.

Di samping dapat berinteraksi dengan OKU pekak dan bisu, Abidul Hazman mengakui kemahiran berkomunikasi dalam bahasa isyarat memudahkan tugasnya sebagai anggota bomba.

"Baru-baru ini, ada rumah terbakar dan selepas buat kerja pemadaman baru saya tahu mangsa adalah OKU pekak. Kalau dulu, saya perlu tulis soalan di atas kertas dan mereka (mangsa OKU) pun jawab secara bertulis namun tempoh hari, kami boleh berbual dengan bahasa isyarat saja.

"Itu kelebihannya jadi bagi saya, bagus jika semua orang tahu berbahasa isyarat kerana dapat berkomunikasi dengan golongan OKU pekak dan bisu. Bagi kita bersembang itu satu nikmat namun sebaliknya bagi golongan sebegitu. Bayangkan betapa sunyinya hidup mereka sebelum ada media sosial kerana tidak dapat interaksi dengan orang luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 10:19 PM