AKTIVITI berkumpulan memudahkan komunikasi bahasa isyarat dipraktikkan.
AKTIVITI berkumpulan memudahkan komunikasi bahasa isyarat dipraktikkan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Dari jauh mereka nampak normal, malah kelihatan sempurna dari luaran. Apabila kita memulakan perbualan, mungkin mereka hanya merenung tanpa membalas dengan tutur bicara.

Dilahirkan cacat pendengaran dan bisu atau masalah kesihatan yang menjurus keadaan ini menyebabkan golongan ini mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling.

Hanya bahasa isyarat yang dapat membantu mereka berkomunikasi dan menunjukkan ekspresi diri.

Umumnya, bahasa isyarat ialah kaedah komunikasi menggunakan pergerakan tangan, badan dan bibir untuk menyampaikan maklumat.

Namun, berapa ramai dalam kalangan kita memahami bahasa isyarat? Adakah hanya golongan pekak dan bisu yang mempelajarinya?

Di Malaysia, masih ramai beranggapan bahasa isyarat hanya perlu dipelajari golongan pekak dan bisu mengakibatkan golongan OKU pendengaran dan pertuturan terus disisih dan dipinggirkan daripada kegiatan kemasyarakatan kerana tidak ramai yang boleh ‘berbicara’ dengan mereka.

Menyedari pentingnya pembabitan masyarakat untuk mendekati golongan ini, Malaysia Outreach Volunteer Experience (MOVE) baru-baru ini mengadakan Projek Tunawicara bersama orang awam bagi memperkasakan bahasa isyarat dalam kalangan masyarakat.

Kursus sehari anjuran bersama SignOn dan Tunjookanggok itu bertujuan memberi kesedaran dan pendedahan mengenai penggunaan bahasa isyarat selain ruang pengumpulan dana bagi Tabung Hati MOVE yang baru dilancarkan.

Antara yang dipelajari termasuk pengenalan huruf, nombor, kata ganti nama, kata tanya, keluarga dan negeri.

Program itu menarik perhatian lebih 30 orang awam tanpa mengira umur dan latar belakang yang rata-rata mahu lebih mendekatkan diri dengan OKU pendengaran dan mahu golongan itu tidak berasa terpinggir.

Peserta kursus, Sharifah Lailatul Zuraida Syed Ismail melahirkan rasa teruja mempelajari bahasa isyarat yang sudah direncanakan sebaik saja dia mengambil keputusan bersara awal.

Jika wanita seusianya lebih selesa meluangkan masa bersama keluarga selepas bersara, berbeza pula dengan bekas pensyarah ini yang mahu menyertai aktiviti kemasyarakatan.

Baru bersara daripada kerjaya sebagai pensyarah Bahasa Inggeris, wanita berusia 57 tahun ini mengakui keputusannya bersara awal kerana mahu berkhidmat dalam program kemasyarakatan dengan OKU antara fokusnya.

“Sementara masih kuat, bertenaga dan memiliki kudrat, saya rasakan ini masa yang tepat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Jadi, program Tunawicara ini adalah peluang yang luas untuk saya berjinak-jinak dengan bahasa isyarat.

“Ketika menjadi pensyarah dulu pun, banyak program khidmat masyarakat yang saya sertai bersama pelajar terutama berkaitan kanak-kanak,” katanya.

Menurut Sharifah Lailatul, program itu turut disertai anak dan menantunya yang sememangnya terbabit aktif dalam program kemasyarakatan.

Malah katanya, pada hujung minggu anak dan menantunya sentiasa meluangkan masa untuk kerja kebajikan, jadi kegigihan pasangan itu turut memberi inspirasi untuknya berganding bahu melakukan kerja amal.

MOHD Armi mengajar peserta kursus asas bahasa isyarat.
MOHD Armi mengajar peserta kursus asas bahasa isyarat.

Bagi Nur Huda Manshaoor, 42, pembabitannya dalam program itu seakan-akan impian menjadi nyata kerana sudah lama dia menanam niat mahu mempelajari bahasa isyarat.

Menurutnya, meskipun tiada ahli keluarga mahupun rakan yang mengalami masalah cacat pendengaran, mempelajari bahasa isyarat juga penting supaya golongan itu tidak rasa tersisih daripada masyarakat.

“Sudah lama saya mahu mempelajari bahasa isyarat kerana bagi saya, OKU pendengaran ini nampak normal berbanding OKU lain yang kita boleh nampak kekurangan mereka secara fizikal.

“Jadi, apabila mendekati golongan ini saya tidak tahu bagaimana nak berkomunikasi dan merasakan mereka bukan sebahagian masyarakat dan seolah-olah mereka ini terasing dalam dunia sendiri.

“Jika setiap anggota masyarakat tahu dan boleh berbahasa isyarat, sekurang-kurangnya OKU pendengaran ada tempat hendak minta pertolongan apabila dalam kesusahan atau mahu berkongsi kegembiraan, sekali gus berasa diri mereka adalah sebahagian daripada masyarakat,” katanya.

Bagi pengusaha taska, Nurul Hafiza Othman, 22, kursus itu banyak membuka matanya untuk mendalami bahasa isyarat sebagai nilai tambah untuk memperkasakan taska yang diusahakan.

Katanya, dia tiada pengalaman dalam bahasa isyarat namun tertarik dengan pendekatan bahasa isyarat untuk dipraktikkan di taska kelolaannya.

“Sebelum ini, saya menghadiri kursus membuka taska, ada satu bahagian kursus memerlukan kami menyanyi dalam bahasa isyarat. Saya rasa ia amat menarik dan menyeronokkan jika boleh diajar kepada anak-anak di tadika,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden MOVE, Syed Zainal Abidin Jamallulail Syed Abdul Aziz berkata, penganjuran kelas itu sebagai tanda keprihatinan pertubuhan untuk lebih memahami golongan OKU pendengaran.

Katanya, kebanyakan orang sukar mendapat peluang belajar bahasa isyarat kerana kelas berkenaan terhad kepada OKU.

“Di Malaysia, tidak semua orang tahu bahasa isyarat, kadang-kadang ramai berminat, tetapi tidak tahu hendak belajar di mana berbanding OKU cacat pendengaran dan bisu apabila kebanyakannya mendapat pendedahan di sekolah pendidikan khas serta institusi atau persatuan yang menyediakan kelas khusus untuk memudahkan mereka berinteraksi.

“Bagi saya, kita juga perlu belajar asas bahasa isyarat bagi memudahkan interaksi dengan OKU. Jadi, kami bekerjasama dengan pengasas SignOn, Mohd Armi Rusli yang juga guru bahasa isyarat menganjurkan kursus ini untuk orang awam.

“Peluang ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya agar kita dapat menjadikan bahasa isyarat sebagai wadah untuk mendekatkan diri dan bergaul dengan golongan ini,” katanya.

PESERTA mempelajari asas bahasa isyarat dalam kursus.
PESERTA mempelajari asas bahasa isyarat dalam kursus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 1:16 PM