Keadaan Riezman yang dirawat di hospital.
Keadaan Riezman yang dirawat di hospital.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan pelakon Riezman Khuzaimi beransur pulih selepas dimasukkan ke Hospital Shah Alam, Jumaat lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Haznita Halim yang juga pengurus Riezman, ketika dihubungi berkata, pelakon filem Susuk itu sudah mula bercakap dan berselera untuk makan.

“Keadaan Riezman semakin baik. Tengah hari semalam dia mulai berselera mahu makan dan lebih banyak bercakap.

"Keadaan itu jauh berbeza ketika dia mula-mula dimasukkan wad. Ketika itu nak bercakap pun payah dan cepat penat,” katanya kepada Harian Metro.

Riezman dimasukkan ke hospital selepas mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, Jumaat lalu.

Difahamkan penyakit itu berpunca daripada keadaan Riezman yang tidak cukup rehat selain antibodi dalam badan lemah.

Haznita berkata, doktor masih membuat pemantauan keadaan Riezman dari semasa ke semasa.

"Buat masa sekarang doktor belum boleh pastikan sampai bila Riezman berada dalam wad. Semuanya bergantung kepada keadaan kesihatannya.

"Kalau dia cepat dia sembuh, mungkin boleh keluar lebih awal," katanya.

Haznita berkata, sepanjang Riezman di wad, isterinya Datuk Normaziah Sheikh Mohamad sentiasa ada bersama.

"Cuma hari ini beliau tak berada di hospital kerana perlu ke Sabah atas urusan kerja. Namun, Riezman tetap dijaga oleh keluarga dan rakan terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 5:51 PM