RIEZMAN Khuzaimi (tiga kiri) bersama penyanyi dangdut, Ani Maiyuni pada majlis sidang media Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia. FOTO Rohanis Shukri
RIEZMAN Khuzaimi (tiga kiri) bersama penyanyi dangdut, Ani Maiyuni pada majlis sidang media Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia. FOTO Rohanis Shukri
Dayang Pretty Abbyana Datu Asis

Kuala Lumpur: Pelakon, pengarah serta penerbit, Riezman Khuzaimi, 53, berkata pihaknya sudah bersedia berdepan dengan sebarang kecaman bagi penganjuran Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia yang dijadualkan diadakan pada 12 Ogos depan.

Riezman sebagai jurucakap penganjur tidak menafikan bahawa akan ada segelintir pihak yang bakal mempolitikkan konsert dangdut itu dengan mendesak untuk membatalkannya.

"Seperti yang kita tahu kuasa kecaman oleh netizen amat hebat. Saya tahu sebab saya pernah mengalami kecaman daripada mereka.

"Apa yang dapat dilakukan adalah melakukan sebaik mungkin dengan memberi garis panduan kepada penyanyi-penyanyi dangdut ketika membuat persembahan," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Riezman, tindakan segelintir pihak yang menghalang peminat untuk berhibur dan menonton konsert adalah tidak adil kerana Malaysia sebuah negara demokrasi.

Mengulas lanjut mengenai konsert yang akan diadakan di Bukit Kiara Equestrian Resort terbabit, Riezman berkata, selepas pasca pandemik Covid-19 banyak konsert artis antarabangsa dianjurkan di negara ini dan mendorong pihaknya untuk turut serta menganjurkannya.

"Bukan sahaja konsert daripada artis negara seberang malahan juga artis tempatan kita turut melakukan benda sama.

"Saya pun ketika ini tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk menerbitkan sebarang drama atau filem daripada produksi saya, jadi saya menterjebakkan diri untuk menjadi penganjur konsert ini," katanya.

Dalam masa sama, Riezman ingin cuba menghidupkan semula genre dangdut di Malaysia yang kurang diketengahkan dalam industri tanah air.

Secara tidak langsung konsert ini juga akan mengintegrasikan genre dangdut dalam kalangan masyarakat moden dan industri muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 6:13 PM