NIENA berkongsi paparan gambar Adiel di katil hospital. FOTO Niena Baharun
NIENA berkongsi paparan gambar Adiel di katil hospital. FOTO Niena Baharun
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pelakon Datin Niena Baharun berterima kasih di atas kata-kata semangat dan doa orang ramai kepada anak lelakinya, Adiel Mikael yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru, baru-baru ini.

Niena mengakui cemas apabila anak lelakinya yang berusia tiga tahun itu perlu dimasukkan ke wad buat kali pertama pada Isnin lalu.

"Alhamdulillah, saya terharu dengan doa dan kata-kata semangat yang diberikan semua pihak menerusi mesej peribadi serta pelbagai medium. Terima kasih kepada semua dan ada juga yang tidak sempat untuk saya balas.

"Keadaan Adiel juga semakin sihat berbanding Isnin lalu ketika mula perlu dimasukkan ke wad. Kali pertama Adiel perlu bermalam di hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Puas kami memujuk doktor untuk tidak masukkan Adiel ke wad.

"Kami akhirnya reda dan menerima keputusan doktor pada ketika itu. Saya berharap Adiel kembali sihat seperti biasa dan dapat bertemu dengan anak kedua saya, Alyssa yang berada di rumah," katanya.

Terdahulu, menerusi satu hantaran di Instagram, Niena berkongsi paparan gambar bersama anak lelakinya itu di katil hospital pada Isnin lalu.

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Jangan Benci Cintaku itu meluahkan rasa syukur kerana Adiel kini juga dilihat bertambah sihat dan semakin ceria berbanding keadaannya yang tidak bermaya beberapa hari lalu.

Niena yang berkahwin dengan Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi pada 1 Februari 2018 turut dikurniakan anak perempuan, Alyssa Marissa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 12:14 PM