Cik Pang

Sewaktu majlis previu filem Harmonika baru-baru ini, penerbit dan pelakon Sharifah Shahora sempat berkongsi cerita gembira mengenai pelakon Riezman Khuzaimi sudah bertunang dengan wanita pilihan hati.

Sudah tentu berita disampaikan itu mengejutkan tetapi bagi rakan yang rapat dengan Riezman, mereka tumpang gembira.

Shahora bagaimanapun menyampaikan berita itu dalam nada bergurau, membuatkan ramai yang tidak mengendahkannya. Mereka sangsi, sama ada ia hanya sekadar usikan atau memang betul-betul berlaku.

Sebaik selesai majlis previu, teman Cik Pang sempat bertemu Riezman dan bertanya empunya badan adakah perkara yang dinyatakan Shahora itu benar.

Pelakon yang popular sekitar 1990-an itu enggan mengulas lanjut mengenai pertunangan yang dilangsungkan, tetapi tidak menafikan memang benar sudah bertemu pengganti bekas isterinya, juga pelakon Kartina Ayub.

Kata Riezman kepada teman Cik Pang, wanita yang berjaya memenangi hatinya juga orang terkenal, tetapi bukan artis. Bagaimanapun dia tidak mahu mendedahkan siapa wanita itu dengan alasan belum masanya.

Riezman turut menegaskan hubungannya dengan wanita itu sangat serius malah bercadang untuk bernikah pada akhir tahun ini.

Katanya, buat masa sekarang dia ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dulu, terutama portal beli-belah talian yang sedang diusahakan.

Pelancaran portal itu dirancang akan dilancarkan pada Ramadan nanti. Selesai saja projek terbarunya itu baru dia akan memikirkan soal pernikahan dengan kekasih hatinya itu.

Kata teman Cik Pang, puas juga dia ‘korek’ dan bertanya siapakah wanita itu tetapi Riezman tetap mahu merahsiakannya.

Cik Pang faham Riezman bersikap sedemikian. Mungkin dia tidak mahu memukul canang akan perkara yang belum lagi sahih.

Apapun bagi Cik Pang, kalau ada perancangan itu sudah cukup bagus. Semoga impian Riezman untuk membina hidup bersama dengan wanita yang berjaya memenangi hatinya itu akan dimakbulkan dan dipermudahkan. Amin!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:04 AM