ARJA  menyampaikan lagu Budak Nakal ketika sidang media, baru-baru ini.
ARJA menyampaikan lagu Budak Nakal ketika sidang media, baru-baru ini.

Variasi muzik kini semakin berkembang. Tidak hanya fokus satu genre, pendengar semakin bijak menilai karya yang dipersembahkan.

Terbaru, pelakon dan penyanyi Arja Lee tampil dengan single Budak Nakal yang segar.

Menerusi lagu ini, terserlah vokal pop Arja sekali gus memperlihatkan sisi lain dirinya.

Budak Nakal menangkap jiwa malah tidak bosan diulang dengar beberapa kali.

Dua single terdahulu, Cerita Pada Mereka dan Bintang Malam yang mengetengahkan genre balada kurang mendapat sambutan. Mungkin kerana lambakan lagu balada ketika itu membuatkan ramai yang terlepas pandang.

Pencipta lagu ini, Ezraz Kong, Ayden Ali dan Adib Hamdi berkata ia mengisahkan jejaka nakal yang bermain cinta dengan ramai wanita.

Menterjemahkan definisi budak nakal, Arja dan pihak pengurusannya menghasilkan video muzik yang konsepnya cukup menarik.

Penuh dengan warna, video muzik Budak Nakal juga turut menampilkan lima wanita cantik.

Arja berharap percubaan kali ni menjadi sekali gus melonjakkan kariernya sebagai penyanyi.

“Budak Nakal pertaruhan penting buat saya. Ia menjadi pembakar semangat untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini,” kata Arja.

Sehingga kini, video muzik yang dimuat naik pada 27 Mac lalu sudah ditonton lebih 30,000 pelayar di YouTube.

INFO:

Lagu: Budak Nakal

Penyanyi: Arja Lee

Komposer dan lirik: Ezra Kong, Ayden Ali dan Adib Hamdi

Label dan edaran: Paranormal Records

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 3:05 AM