LAGU Budak Nakal diharap jadi permulaan untuk melangkah lebih jauh sebagai penyanyi.
LAGU Budak Nakal diharap jadi permulaan untuk melangkah lebih jauh sebagai penyanyi.
Syafil Syazwan Jefri


Ramai anak seni pernah melalui zaman kejatuhan, begitu juga pelakon dan penyanyi Arja Lee.

Kembara seni Arja tidak semudah yang disangka apabila banyak onak duri terpaksa ditelan.

Namun, jejaka ini tidak pernah mengalah bahkan terus memujuk hati untuk terus bertahan seterusnya melakukan yang terbaik.

“Setiap anak seni ada zaman kegemilangan dan kejatuhan. Fasa kegagalan itulah yang banyak mendidik kita untuk berusaha lebih gigih.

“Mungkin populariti saya tidak naik mendadak seperti sesetengah artis tetapi saya sentiasa memotivasikan diri agar menjadi lebih baik,” katanya.

Meletakkan Ayda Jebat sebagai antara figura yang berjaya dalam industri, Arja mengakui penyanyi itu menjadi inspirasinya.

“Ayda melalui beberapa fasa dalam kerjaya seninya. Kini dia dikenali dan menjadi pujaan ramai peminat.

“Saya mahu berjaya sepertinya,” kata Arja.

Menurut Arja, Ayda yang bernaung di bawah syarikat pengurusan sama dengannya iaitu Paranormal Records selalu memberi kata-kata semangat kepadanya.

“Ayda berkata belum terlambat sekiranya saya mahu menggilap bakat sebagai penyanyi. Dia minta saya mulakan sekarang,” kata Arja.

Berkat sokongan rakan artis dan keluarga, pemilik nama sebenar Azharudin Ramli ini tampil dengan single berjudul Budak Nakal ciptaan Ezra Kong.

“Sebelum ini saya pernah menghasilkan dua single balada iaitu Cerita Pada Mereka dan Bintang Malam namun kurang mendapat sambutan.

“Mungkin kerana sudah ramai penyanyi lelaki tempatan menghasilkan lagu balada,” katanya yang dilamar Paranormal Records selepas menyertai program realiti Gempak Superstar.

Menyedari minat Arja terhadap koleksi lagu Justin Bieber, Paranormal Records mencadangkan dia tampil dengan lagu rancak dan terhasillah Budak Nakal.

“Memandangkan percubaan sebelum ini tidak berjaya, saya kena buat pembaharuan.

“Budak Nakal membawa satu getaran dan semangat baru buat saya. Harap percubaan ini menjadi permulaan yang baik untuk saya melangkah lebih jauh sebagai penyanyi,” katanya.

Meskipun sudah berusia 33 tahun, Arja tidak mahu terlalu mendesak dirinya untuk nampak muda bagi disesuaikan dengan lagu Budak Nakal.

“Nanti kalau keterlaluan, orang akan cakap tak sesuai dengan usia pula. Bagaimanapun, saya akan pastikan persembahan nanti bertenaga apatah lagi saya pernah jadi penari satu ketika dulu,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya lakonan, Arja memaklumkan dia masih aktif namun fokusnya lebih kepada muzik.

“Buat masa sekarang saya rancak mempromosikan Budak Nakal.

“Ada juga beberapa tawaran berlakon terpaksa saya tolak kerana sibuk dengan komitmen sebagai pengacara,” katanya yang baru selesai penggambaran program travelog terbitan RTM, Kenali Sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 2:11 AM