Syafil Syazwan Jefri


Baru tiga bulan dimuat naik ke YouTube, lagu berjudul Sabar dendangan penyanyi muda, Ismail Izzani kini mencecah lebih lapan juta tontonan.

Lagu ciptaan Omar K, Adib Hamdi, Zyn dan Ismail sendiri ini menyuntik elemen segar dalam muzik tempatan yang rata-rata dimonopoli muzik era 1990-an.

Berentak pop R&B, Sabar kedengaran seimbang dengan vokal Ismail yang tidak terlalu berlebihan, tetapi tidak juga lemah jika dibandingkan dengan penyanyi lain seusianya.

Sejujurnya, pada awal kemunculan lagu Sabar dalam industri muzik, langsung tidak dijangka ia lantunan penyanyi berusia 17 tahun.

Liriknya pula menyebarkan aura positif buat pendengar apabila mengajak pendengar untuk sentiasa bersabar dan yakin dengan kuasa doa.

Sabar juga boleh diangkat sebagai lagu motivasi untuk membina jiwa anak muda supaya lebih kental, lebih-lebih lagi apabila nama Ismail sendiri kini semakin mendapat tempat.

Secara tak langsung, itu juga mungkin menjadi salah satu sebab lagu ini pernah dipertaruhkan dalam program realiti Gema Gegar Vaganza, dipersembahkan oleh Hafiz Hamidun dan Ismail secara duet.

Lebih menarik, Sabar tidak hanya sekadar lagu Melayu biasa, tetapi turut menyelitkan lirik berbahasa Inggeris di ‘verse’ keduanya.

Bagi Ismail, dia sendiri tidak pernah menyangka lagu Sabar ini tular sehingga keluar dari Malaysia.

“Saya sendiri tidak pernah menjangkakan sambutan sehebat ini. Lebih membanggakan apabila ada pencinta muzik dari Indonesia yang turut memberikan reaksi positif dengan kehadiran Sabar di sana,” katanya.

Menurut Ismail, dia berharap agar kehadiran Sabar akan menambah warna dalam rencah muzik tanah air.

“Sudah banyak penyanyi dan lagu balada dihasilkan dan saya ingin membawakan sedikit kelainan untuk disajikan kepada pendengar,” katanya.

INFO

• LAGU: Sabar

• PENYANYI: Ismail Izzani

• LAGU: Omar K, Adib Hamdi, Ismail Izzani & Zyn

• LIRIK: Omar K, Adib Hamdi, Ismail Izzani & Zyn

• TERBITAN & EDARAN : World Peace Entertainment

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 3:59 AM