PENGALAMAN sebagai arkitek landskap lebih 20 tahun.
PENGALAMAN sebagai arkitek landskap lebih 20 tahun.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


KALI terakhir bertentang mata dengan wanita ini pada 2018 di pejabatnya di Fakulti Seni Reka dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Selepas itu, penulis banyak mengikuti perkembangannya di Facebook dan kagum dengan peningkatan kerjayanya serta banyak menghadiri tugas rasmi di luar negara.

Akhirnya, selepas enam tahun, penulis berkesempatan bertemu lagi figura arkitek landskap hebat ini di pejabatnya itu, baru-baru ini.

Sikap ramah dan mesranya masih sama. Pelbagai kisah menarik dikongsikan membuatkan pertemuan hampir dua jam itu dirasakan singkat.

Perkembangan terbaharu Prof Madya Dr Shureen Faris Abd Shukur ialah beliau diberikan kepercayaan mewakili Malaysia dan profesion arkitek landskap untuk bersama dengan penyelidik terkemuka dunia di International Union Federation of Research Organisasion (IUFRO) berpusat Vienna, Austria.

Menurutnya, ia adalah penghargaan yang tertinggi kepadanya kerana diberikan peluang bersama sekumpulan pakar reka bentuk perhutanan sedangkan dirinya daripada bidang berbeza iaitu seni bina landskap.

"Ini membuka peluang kepada saya mempelajari banyak ilmu. Pada masa sama menganggap ia sebagai cabaran, meskipun pada permulaannya ada berasa sedikit keraguan dengan kemampuan diri.

"Hasil kerjasama ini, satu buku mengenai polisi bagaimana hendak menjadikan kawasan hutan sebagai sebagai terapi berjaya dihasilkan tahun lalu," katanya.

Wanita berusia 52 tahun ini berkata, Malaysia memiliki banyak hutan, tetapi di luar negara sudah menggunakan banyak hutan sebagai ruang terapi.

Katanya, bermula dengan buku ini juga beliau mula membuat penyelidikan bersama penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) mengenai hutan di Malaysia bagi mengetahui spesifik hutan dan karakter hutan yang sesuai dijadikan terapi.

"Kajian ini sudah dijalankan hampir setahun dan dijangka disiapkan tahun depan berdasarkan hasil daripada tesis penuntut berkenaan.

"Hasil penyelidikan ini juga akan dikongsi bersama masyarakat menerusi penulisan artikel dalam akhbar dan Jabatan Semenanjung Malaysia," katanya.

Berkongsi ciri-ciri hutan sebagai terapi Dr Shureen Faris berkata, ia (ciri-ciri) dilihat dalam kertas penulisan kajian di seluruh dunia.

"Ciri-ciri pertama ialah 'aksesibiliti' iaitu bagaimana kemudahsampaian untuk ke hutan. Ciri-ciri kedua adalah perlu memenuhi kehendak setiap pengguna.

"Manakala ciri-ciri ketiga pula adalah setiap reka bentuk perlu memikirkan mengenai penyelenggaraan," katanya.

Ditanya cara menguruskan kehidupan yang sibuk sebagai pensyarah, penyelidik dan ibu, katanya, amalannya memulakan rutin harian awal pagi (morning person) banyak membantu kehidupan yang teratur.

"Setiap hari saya bangun seawal jam 4 pagi dan memulakan rutin harian. Selain dapat menyiapkan banyak perkara, ia juga menjadikan diri lebih aktif.

"Satu lagi saya ingin menasihati mereka yang tidak boleh mengawal tekanan kerana banyak bebanan, hendaklah selalu menyediakan senarai semak perkara yang mahu dilakukan setiap hari dan cuba siapkan pada hari berkenaan," katanya.

Dalam konteks pemerkasaan wanita pula Dr Shureen Faris berkata, setiap wanita perlu mempunyai satu visi yang akan menentukan kehidupan yang diinginkan.

Pada masa sama, beliau turut mempunyai visi memberikan pengajaran terbaik dalam dewan kuliah kepada penuntutnya. Cara itu membuatkannya tidak berasa menyesal dengan setiap apa yang dilakukannya.

"Di samping itu, wanita perlu menghargai diri dengan melakukan perkara disukai. Pendekatan saya ialah mengembara secara solo ke luar negara setiap dua atau tiga bulan sekali.

"Lokasi wajib dilawati setiap tahun ialah Venice kerana sering mengikuti perkembangan reka bentuk dan seni terkini melalui Venice Binalle yang diadakan setiap tahun.

"Pada masa sama boleh menimba banyak ilmu baharu," akuinya.

Berkongsi lanjut kisah dirinya kata beliau, ketika melanjutkan pengajian PhD di Universiti Copenhagen, Denmark pada Ogos 2009 hingga Mac 2013, beliau menyedari betapa susah seorang wanita melanjutkan pengajian itu berbanding lelaki.

"Selain memenuhi tuntutan pengajian, saya juga perlu memikul tanggungjawab menjaga dan menguruskan dua anak serentak.

"Pada masa sama, jangkaan wanita untuk berjaya adalah lebih berbanding lelaki. Maka wanita perlu membuktikan kedudukan sama taraf dengan lelaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 7:01 AM