Nabila sahkan tidak berlakon Munafik 2. FOTO HM/Cinema Malaysia
Nabila sahkan tidak berlakon Munafik 2. FOTO HM/Cinema Malaysia
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon popular Nabila Huda mengesahkan tidak berlakon dalam filem Munafik 2 yang diarahkan Syamsul Yusof.

Nabila, 33, ketika dihubungi berkata, dia terpaksa menolak dengan cara baik tawaran Syamsul itu berikutan komitmen terhadap drama bersiri 100 episod.

"Memang Syamsul ada tawarkan kepada saya, tapi tak boleh nak buat. Pada masa sama, saya terikat dengan jadual kerja lain. Lagipun penerbit drama bersiri itu sudah mendapatkan tarikh saya sejak tahun lalu lagi.

"Penggambaran drama itu dijadual berlangsung awal April ini sehingga Januari 2018. Jadi, saya menganggap tak ada rezeki nak berlakon dan bekerjasama dengan mereka lagi," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu ruangan Cik Pang dalam akhbar Metro Ahad semalam melaporkan Nabila yang juga pemenang Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM 28) tidak berlakon dalam sekuel filem Munafik itu.

Menerusi laporan sama, pelakon Pontianak Harum Sundal Malam iaitu Maya Karin dipilih bagi menggalas watak utama yang juga watak baru dalam filem itu.

"Saya difahamkan Maya bakal terbabit dalam filem itu, tapi saya tak pasti sejauh mana kebenarannya," katanya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro bagi mendapatkan kenyataan Syamsul tidak berjaya apabila panggilan telefon tidak dijawab.

Filem Munafik yang ditayangkan pada Februari tahun lalu mencipta fenomena apabila mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman tempatan sebanyak RM19 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 4:02 PM