Nabila Huda puji lakonan Maya Karin. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Nabila Huda puji lakonan Maya Karin. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Norhayati Nordin


PELAKON Nabila Huda Shuhaimi, 34, akui terkejut apabila melihat watak Maria lakonannya dimuatkan dalam filem sekuel, Munafik 2 arahan Syamsul Yusof .

Nabila berkata dia yang sudah menonton filem itu di pawagam tidak sangka babak lakonannya turut diguna pakai.

“Tidak dinafikan, saya terkejut jugalah melihat ada babak berkaitan Maria dalam Munafik 2.

“Tak sangka, Syamsul ingat juga pada watak Maria itu dan sedikit sebanyak perasaan saya terharu,” katanya.

Ditanya tidakkah dia dimaklumkan mengenai babak itu, Nabila berkata memang tidak mengetahunya langsung.

“Apapun, saya tumpang gembira dengan kejayaan kutipan pecah panggung yang berjaya dicatat Munafik 2 di pawagam.

“Saya juga memuji lakonan hebat Maya Karin yang melakonkan watak Sakinah dan ibu tunggal dalam filem itu.

“Maya berjaya melakonkan watak Sakinah itu dengan sangat baik dan tuntutan karakternya jauh beza daripada Maria,” katanya.

Menurut Nabila, sebagai penggiat seni dia bangga melihat sokongan penonton terhadap filem Melayu pada masa kini.

“Tahun ini, saya dapati penonton tempatan mula berminat membeli tiket menonton filem Melayu.

“Antara filem Melayu dilihat berjaya jadi perhatian seperti Pulang diikuti Hantu Kak Limah dan terbaru Munafik 2.

“Selepas ini, diharapkan dapatlah juga penonton terus memberi sokongan pada filem One Two Jaga yang sudah mula ditayangkan pawagam,” katanya.

Nabila berkata sokongan penonton terhadap filem Melayu di pawagam sangat penting memandangkan karya dihasilkan juga semakin bertambah baik dan kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 5:04 PM