Maya (kiri) tidak mahu dibandingkan dengan Nabila. FOTO HM Digital
Maya (kiri) tidak mahu dibandingkan dengan Nabila. FOTO HM Digital
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular, Maya Karin berharap peminat tidak membandingkan lakonannya menerusi watak Sakinah dalam filem Munafik 2 dengan watak Maria lakonan Nabila Huda dalam Munafik.

Maya, 39, atau Maya Karin Roelcke berkata, setiap pelakon ada kelebihan masing-masing apatah lagi dalam menjayakan dua watak berbeza.

"Saya harap tidak perlu dibandingkan sebab Munafik dan Munafik 2 cukup berlainan dari segi jalan cerita.

"Bagi saya, Munafik 2 boleh berdiri sendiri tanpa perlu kita melihat filem terdahulu untuk memahami filem ini.

"Namun, kalau ada juga nak buat perbandingan terpulang kepada masing-masing. Tetapi sebaiknya tidak perlu. Masing-masing ada kelebihan tersendiri," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Nabila berkata dia menangis menonton lakonan Maya terutama babak membabitkan Sakinah dengan anaknya.

"Maya, tidak ada apa yang boleh saya komen. Awak buat saya menangis. Watak anak perempuan awak pun bagus," tulisnya di Instagram Story.

Menerusi status sama, Nabila yang menonton filem arahan Syamsul Yusof itu semalam turut memuji keseluruhan filem itu termasuk lakonan Mawi dan Datuk Fizz Fairuz.

"Tahniah buat Syamsul. Lokasi penggambaran gempak. Semua hebat. Buat Mawi, sejujurnya saya terkejut melihat lakonan awak. Saya suka cara awak melontarkan dialog dan reaksi muka. Teruskan berlakon selepas ini sebab awak berbakat.

"Fizz pula jangan cakap. Awak memang pelakon hebat. Bagi apa saja watak semua menjadi. Tidak lupa juga kepada semua pelakon lain yang semestinya hebat. Tahniah kepada semua pasukan," katanya.

Selain Maya, Munafik 2 turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Syamsul Yusof, Datuk Fizz Fairuz, Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi, Mawi, Datuk Rahim Razali dan ramai lagi.

Filem arahan Syamsul dan terbitan Skop Productions Sdn Bhd itu mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air semalam serentak di Singapura dan Brunei.

Tayangan di Indonesia bermula pada 26 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 2:57 PM