PELAKON dan pengarah Munafik 2, Syamsul Yusof (kanan) bersama Maya Karin yang melakonkan watak heroin. FOTO Aziah Azmee
PELAKON dan pengarah Munafik 2, Syamsul Yusof (kanan) bersama Maya Karin yang melakonkan watak heroin. FOTO Aziah Azmee
Ramlah Zainal


BUKAN sekadar filem seram semata-mata, Munafik 2 juga memaparkan elemen islamik dan dakwah sekali gus memberi pengajaran kepada penonton.

Selaku pelakon dan pengarah Munafik 2, Syamsul Yusof, 34, mengakui sekuel yang membabitkan bajet RM2.8 juta itu juga lebih seram dan hebat berbanding filem terdahulu yang ditayangkan pada 2016.

“Munafik 2 adalah kesinambungan daripada filem Munafik yang pertama. Ia memaparkan kisah hidup Ustaz Adam selepas setahun berlalu.

“Anda perlu menonton Munafik yang pertama untuk memahami jalan cerita filem ini kerana banyak perkara yang dikupas akan terjawab dalam sekuel ini.

“Saya juga menangis ketika proses suntingan filem ini kerana unsur dakwah diketengahkan inspirasi daripada kisah Nabi serta negara Islam yang ditindas seperti Palestin dan Syria,” katanya.

Ditanya kenapa mengambil masa yang lama untuk menghasilkan Munafik 2, Syamsul berkata ia naskhah berat dan perlu menyeimbangkan cerita seram dan unsur dakwah untuk disampaikan kepada masyarakat.

“Tidak mudah menghasilkan filem ini malah saya berkurung selama sebulan untuk menulis skripnya.

“Tekanan juga lebih besar apabila menghasilkan karya yang lebih hebat daripada yang pertama.

“Kutipan Munafik hampir RM20 juta dan tidak mudah untuk mengekalkan kejayaan itu kerana saya perlu bersaing dengan diri sendiri. Memang pecah kepala dibuatnya,” kata Syamsul.

Menurutnya, tidak mudah mengarah dan pada masa sama membintangi naskhah berat itu.

“Saya mahu menghasilkan filem yang memberi kesan mendalam kepada masyarakat.

“Walaupun berdepan dengan tekanan mental dan fizikal, saya percaya mampu melakukannya kerana sudah mengetahui kelebihan dan kekurangan Ustaz Adam,” katanya.

Mengenai pemilihan Maya Karin sebagai heroin pula, kata Syamsul, dia memang sudah lama menanti peluang untuk bekerjasama dengan pelakon hebat itu.

“Penampilan Maya bukan menggantikan Nabila Huda sebaliknya Sakinah memang watak baharu yang saya buat khusus untuk Maya.

“Maya pernah berlakon dalam filem seram dan saya percaya dia juga menantikan watak berat yang memaparkan sisi berbeza dirinya,” katanya.

Syamsul mengakui dia ‘mendera’ Maya di lokasi penggambaran filem itu.

“Apabila mengarah, kadang-kadang saya terlupa soal solekan pelakon dan sebagainya tetapi Maya yang mengingatkan.

“Babak saya dengan Maya tak banyak tetapi saya selesa bekerja dengannya kerana dia tahu apa yang saya mahukan.

“Maya juga berikan komitmen terbaik menjayakan watak Sakinah,” katanya.

Maya, 38, mengakui sukar menolak tawaran membintangi filem Munafik 2 arahan Syamsul Yusof kerana tertarik dengan naskhahnya.

Menurut Pelakon Terbaik, Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona, Malaga, Sepanyol pada 2005, Syamsul merombak semula skrip asal filem itu dan skripnya hanya diserahkan kepadanya tiga hari sebelum penggambaran bermula.

“Saya dapat merasakan watak Sakinah sangat luar biasa. Banyak babak yang tiada dalam skrip asal termasuk babak rogol.

“Syamsul juga memberikan sepenuh kepercayaan dan kebebasan kepada saya untuk mencorakkan watak Sakinah. Dia akan tegur jika ada babak yang perlu diperbetulkan.

“Saya juga mendapatkan khidmat pelakon dan pengarah Ellie Suriaty untuk membimbing lakonan,” katanya.

Bagaimanapun, kata pemilik nama sebenar Maya Karin Roelcke, babaknya dengan Syamsul tidak banyak dalam filem itu.

“Hanya ada dua momen yang menuntut kami bertentang mata dalam cerita ini.

“Saya sangat berharap ada banyak babak dengan Syamsul pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas watak Sakinah, Maya berkata, terlalu banyak babak berat malah dia perlu bermain dengan emosi.

“Ada babak rogol, bergaduh, berlari dan kejar mengejar.

“Paling sukar apabila saya digantung di pokok dan pada masa sama menjerit kerana dirasuk dan bercakap dalam bahasa Arab.

“Saya juga meminta Syamsul memberikan tempoh 24 jam untuk menghafal dialog dalam bahasa Arab,” katanya.

Selain Maya, filem itu turut dibintangi Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Rahim Razali, Datuk Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi dan Ku Faridah.

Filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd itu akan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 30 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 6:10 AM