Nasir Bilal Khan. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Nasir Bilal Khan. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Ramlah Zainal


“BIARLAH masyarakat yang benci tapi jangan Tuhan benci saya,” kata pelakon senior Nasir Bilal Khan, 58, ketika mengulas watak antagonis lakonannya dalam filem Munafik 2.

Nasir dikenali dengan watak Tok Adi dalam drama bersiri Tanah Kubur, menyedari risiko melakonkan watak pengamal ajaran sesat dan ilmu hitam iaitu Abu Jar dalam filem itu.

“Saya terima tawaran pengarah Syamsul Yusof untuk berlakon filem Munafik 2 kerana tertarik dengan naskhah berat itu.

“Apa penting adalah mesej keagamaan mahu disampaikan pada penonton,” katanya.

Nasir berkata, sebagai pelakon berpengalaman, dia perlu jujur dan ikhlas melakonkan watak Abu Jar itu seperti dikehendaki skripnya.

“Jika penonton berasa benci dengan watak Abu Jar lakonan saya itu, ia bermaksud saya sudah berjaya melakonkan watak itu dengan baik,” katanya.

Mengulas watak Abu Jar dalam Munafik 2, kata Nasir, pada mulanya dia berasa risau melakonkan watak berat dan sangat mencabar itu.

“Namun, bersandarkan ilmu lakonan sedia ada dan bimbingan pengarah seperti Sysmsul, saya berusaha melakonkan watak berat itu mengikut kemampuan.

“Saya selesa bekerja dengan Syamsul kerana dia pengarah sangat teliti sebab itu penggambaran mengambil tempoh yang lama,” katanya.

Selain Nasir, filem Munafik 2 turut dibintangi Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Mawi, Datuk Rahim Razali, dan ramai lagi.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu akan ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula esok (30 Ogos).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 3:46 PM