PEMAIN Perlis  Nasharizam Ab Rashid (kiri) mengasak pemain MISC-MIFA Micheal Chukwubunna Ijezie.
PEMAIN Perlis Nasharizam Ab Rashid (kiri) mengasak pemain MISC-MIFA Micheal Chukwubunna Ijezie.
Hafizudin Mohd Safar

Kangar: Menghuni carta terbawah liga tidak bermakna Perlis akan terus berputih mata dan hakikat itu dibuktikan apabila mereka memanfaatkan kelebihan laman sendiri untuk menewaskan MISC-MIFA FC 2-0 dalam aksi di Stadium Tuanku Syed Putra (STSP) kelmarin.

Ketua jurulatih Perlis Syamsul Mohd Saad berkata, sungguhpun kemenangan pasukannya sesuatu yang tidak dijangka, beliau memuji usaha pemainnya dengan memanfaatkan peluang terutama ketika pertahanan lawan leka.

“Realitinya separuh pemain Perlis sebenarnya mengalami kecederaan dan kami hanya beraksi dengan dua import.

“Namun, pujian harus diberikan kepada pemain yang berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih MISC-MIFA FC Jacob Joseph mengakui pasukannya hilang fokus sebaik dikejutkan dengan gol pertama Perlis selain kegagalan memanfaatkan beberapa peluang terhidang.

“Seluruh pasukan hilang fokus dan tidak dapat berfungsi baik apabila dikejutkan dengan gol pertama Perlis menerusi sepakan percuma mudah,” katanya.

Gol Perlis dijaringkan Mohd Zafuan Azeman dan Muhd Nasharizam Ab Rashid, masing-masing pada minit ke-16 dan 68.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 4:50 AM