PEMAIN Perlis, Makeche Ndumba (tengah) bersaing dengan pemain ATM, Mohamad Noraiman Taib (kiri) dan Sirojiddin Rakmatullaev  pada perlawanan terakhir Liga Perdana 2017 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. FOTO/HAZREEN MOHAMAD
PEMAIN Perlis, Makeche Ndumba (tengah) bersaing dengan pemain ATM, Mohamad Noraiman Taib (kiri) dan Sirojiddin Rakmatullaev pada perlawanan terakhir Liga Perdana 2017 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. FOTO/HAZREEN MOHAMAD
Amin Jalil dan Willie Jude Junaidi


ATM dan Perlis sah tersingkir ke saingan Liga FAM musim hadapan meskipun ATM berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Perlis pada aksi terakhir Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Ini kerana kemenangan itu tidak cukup untuk membolehkan ATM kekal beraksi di Liga Perdana memandangkan jumlah perbezaan jaringan dengan MISC-MIFA menyaksikan mereka perlu mengiringi Perlis ke Liga FAM itu bagi musim hadapan.

Pada aksi terbabit, tiada gol dapat disaksikan pada babak pertama namun ATM bermula garang pada separuh masa kedua yang menyaksikan tuan rumah mendahului menerusi penyudah Pavel Smolyachenko pada minit ke-55.

Namun, Zafuan Azeman mengikat kedudukan pada minit ke-85 sebelum Mohd Faiz Ibrahim memastikan ATM menutup kempen dengan mata penuh selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-90.

Di Stadium MBPJ, MISC-MIFA berjaya mengelak daripada tersingkir ke Liga FAM selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas PDRM pada aksi terakhir Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

V Satheskumar meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-38 sebelum Kpah Sherman mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-66 dan M Youwaransan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-79 sekaligus memastikan mata penuh menjadi milik tuan rumah.

Di Stadium Likas, hasrat Negeri Sembilan menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan teratas pada musim ini lebur apabila dikecewakan Sabah 2-1 .

Roduljub Paunovic meledak dua gol pantas dalam tempoh tiga minit untuk tuan rumah selesa berkelebihan dua gol sebelum Muhammad Fauzan Mohd Fauzi mengurangkan defisit seminit selepas babak kedua bersambung.

Di Stadium UiTM Shah Alam, UiTM FC menutup kempen musim ini dengan penuh bergaya selepas mudah membelasah Kuantan FA 4-1.

habis

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 11:35 PM