IZREEN Azminda.
IZREEN Azminda.
Sudirman Mohd Tahir


Selama empat bulan iaitu sejak Oktober tahun lalu pelakon popular Izreen Azminda mengambil keputusan berehat daripada terbabit dengan sebarang penggambaran drama.

Bukan kerana merajuk dengan senario industri hari ini, sebaliknya Izreen atau nama sebenarnya Izreen Azminda Aznam, 32, sekadar memberi ruang buat diri sendiri.

“Lebih 10 tahun dalam industri saya tak pernah berehat panjang. Jadi sesekali nak berehat tak salah rasanya. Bukan apa, selama ini saya seorang saja yang bekerja dalam keluarga. Tipu kalau kata tak penat, tapi itu tanggungjawab saya terhadap keluarga.

“Kebetulan sepanjang berehat saya tumpukan perhatian terhadap perniagaan minyak wangi. Saya pula jenis yang tak boleh melakukan dua kerja pada satu masa. Semua sedia maklum berlakon memerlukan komitmen tinggi. Justeru, keputusan nak berehat adalah tepat,” katanya.

Namun apa yang mengejutkan adalah penampilan Izreen yang popular menerusi drama Eksperimen Cinta ini lebih kurus berbanding sebelumnya.

Ditanya adakah dia berdepan masalah lain seperti putus cinta, Izreen menafikan perkara itu.

“Selepas bercerai saya tak ada sesiapa pun. Mana mung­kin saya boleh putus cinta. Cuma tak dinafikan terdapat masalah peribadi lain. Bagi saya itu perkara biasa dalam hidup.

“Salah satu sebab saya berehat daripada berlakon kerana nak menenangkan fikiran. Orang melihat saya gembira dan ‘gila-gila’ tapi tak tahu apa yang terbuku dalam hati. Tak perlu saya berkongsi dengan semua. Paling penting saya kurus bukan sebab makan hati,” katanya.

Sambung Izreen, dia kini bersedia menerima kehadiran insan yang boleh memberi kebahagiaan kepada dia dan anaknya, Adrian Umar, 3.

“Selepas bercerai saya takut nak bercinta semula. Malah, sehingga sekarang pun perasaan itu masih ada sehingga sukar nak percayakan mana-mana lelaki. Namun, apabila difikirkan semula sampai bila saya nak begitu?

“Justeru, perlahan-lahan saya buka pintu hati. Bukan bermaksud saya terdesak, tapi dalam proses nak melupakan apa yang pernah berlaku sebelum ini. Saya berharap dipertemukan dengan lelaki yang lebih bertanggungjawab, boleh memberi kesenangan, kebahagiaan dan kasih sayang.

“Selain itu, dia mestilah boleh menerima keluarga dan anak saya. Bukan apa, berkahwin dengan saya bererti ‘berkahwin’ dengan mereka juga terutama anak saya. Kalau setakat nak saya, lebih baik lupakan hasrat itu,” katanya.

Tahun untuk bekerja keras

Tamat tempoh ‘bercuti’, jadual kerja Izreen kembali padat sehingga selepas Aidilfitri nanti.

Izreen berkata, tahun ini dia mahu lebih aktif dan fokus dengan kerjaya lakonan serta perniagaan yang diusahakan.

“Alhamdulillah, bermula awal bulan ini saya terbabit dengan penggambaran drama 16 episod untuk tayangan Ramadan. Kemudian saya bakal menjayakan empat episod drama Pergilah Air Mata yang mendapat ‘rating’ tertinggi di RTM.

“Selepas itu, saya terbabit pula dalam drama 30 episod berjudul Yes Sir. Jadual kerja saya padat sehing­ga selepas raya. Malah ada beberapa lagi tawaran yang masih dalam perbincangan.

“Saya bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan stesen TV dan penerbit untuk membintangi karya mereka. Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik,” katanya.

Pada masa sama, Izreen bersyukur apabila dilantik menjadi duta produk kecantikan dan kempen rang­kaian produk penjagaan diri sepanjang Ramadan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 10:53 AM