IZREEN Azminda. FOTO Amir Naufal Photography
IZREEN Azminda. FOTO Amir Naufal Photography
Sudirman Mohd Tahir


Selepas bercerai tiga tahun lalu, pelakon Izreen Azminda mengakui sukar mencari teman hidup yang boleh memahami dirinya.

Biarpun ada yang ingin berkenalan, Izreen, 32, lebih selesa berkawan baik saja. Bukan jual mahal, sebaliknya kebanyakan mereka tidak memenuhi kriteria diingini.

Dalam erti kata lain, Izreen mengharapkan lelaki yang ingin dikahwini mampu memberikan kegembiraan dalam hidupnya dan bukan sekadar menjadi suami.

Namun, kehadiran lelaki yang dikenali sebagai Mr R sejak setahun lalu berjaya mengetuk pintu hatinya untuk berkahwin sekali lagi.

Namun, Izreen belum sedia untuk berkongsi lanjut mengenai hubungan yang terjalin. Bagaimanpun, Izreen mengakui Mr R adalah lelaki yang boleh dianggap teman istimewanya kini.

“Kalau boleh saya tidak mahu terlalu bercerita. Saya bimbang jika perkara yang dirancang tidak menjadi. Lagipun, saya takut jika sejarah lama berulang kembali. Paling penting, saya tidak mahu menjadi seperti kebanyakan selebriti yang suka berkongsi kisah luar dan dalam kelambu mereka kepada umum.

“Saya lebih suka bersikap ‘low profile’. Tidak perlu terlalu mendedahkan. Cukup sekadar saya berkongsi kebahagiaan dilalui kini. Kalau saya bercakap perkara yang belum ada kepastian, netizen akan kritik dan beri persepsi bukan-bukan.

“Insya-Allah kalau saya berkahwin nanti, majlis diadakan sederhana saja. Bagi saya tidak ada apa yang perlu dikecohkan cukup hanya saya berkongsi berita gembira. Ia lebih bagus,” katanya.

Izreen yang juga ibu tunggal kepada seorang anak lelaki, Adrian Umar yang kini berusia empat tahun berkata, dia terbuka hati menerima ‘lamaran’ Mr R disebabkan kesungguhan yang ditunjukkan.

Pada masa sama, Izreen menyifatkan Mr R seorang lelaki yang mudah dibawa berbincang.

“Sejujurnya saya ambil masa untuk berkenalan dengan orang baru. Apabila melalui episod perceraian, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui. Jadi, untuk bermula dari awal banyak perkara perlu diambil kira terutama soal keserasian.

“Alhamdulillah, dengan Mr R tidak susah nak bina keserasian. Pendek kata, dia sangat memahami saya. Tidak bermaksud saya menyalahkan pasangan terdahulu, cuma saya berasakan antara kami wujud jurang dalam perhubungan dibina.

“Ketika itu, tidak semua perkara saya kongsi bersama. Saya masih lagi berahsia. Mungkin disebabkan kekangan kerja dan masa membuatkan wujud perkara sebegini. Namun, sebaliknya selepas mengenali Mr R. Bagi saya, dia kawan gaduh, gembira, susah dan senang,” katanya.

Harap hubungan menjadi

Jika segala yang dirancang berjalan lancar, ia akan menjadi perkahwinan kedua Izreen. Sejak awal lagi dia sedaya upaya memastikan pilihan kali ini tepat.

Menurut Izreen, apa pun keputusan dibuat selepas ini ia dianggap pertaruhan.

“Saya tidak tahu apa bakal berlaku. Jadi, saya reda dengan setiap keputusan dan tindakan dibuat. Jika ada jodoh, ia perkahwinan kedua buat saya.

“Pastinya, saya mengharapkan hubungan kali ini berkekalan selamanya. Pengalaman lalu saya jadikan pengajaran dan sempadan. Sepanjang tiga tahun ini banyak perkara dilalui yang membuatkan saya lebih matang terutama dalam soal mencari pasangan,” katanya.

Bintang utama drama Tukar Tukar Menu yang sedang ditayangkan di TV3 ini turut berharap dapat merasai keindahan dan nikmat perkahwinan sebenar.

“Jika berkahwin nanti, saya berharap pasangan dapat meluangkan lebih banyak masa dan melakukan aktiviti bersama. Soal kerja dan duit boleh dicari kerana apa yang lebih penting adalah kegembiraan dan nikmat rumah tangga. Dahulu, saya tidak berpeluang melalui semua ini.

“Saya tidak mahu lagi berpura-pura berasa gembira. Saya juga berhak hidup gembira dengan insan dicintai. Malah, sekiranya jodoh dengan suami orang sekali pun, saya tetap mahu dia beri masa untuk saya.

“Saya tidak mengharapkan duit dan kemewahan. Saya cuma inginkan kegembiraan,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Izreen berkata buat masa sekarang dia terikat dengan komitmen duta beberapa produk.

“Saya baru selesai menjalani penggambaran drama Aksara Kasih Ayah terbitan RTM. Jadi, buat sementara waktu saya fokus dengan komitmen duta produk.

“Insya-Allah, saya kembali menerima tawaran berlakon pada awal Disember ini. Kalau setakat telefilem, saya okey. Cuma saya memilih penggambaran yang dijalankan di sekitar Lembah Klang.

“Buat masa sekarang, agak susah nak bekerja di luar kawasan kerana perlu menghantar dan mengambil anak ke sekolah. Pada masa sama, mak saya juga tinggal bersama. Saya tidak boleh tinggalkan mereka begitu saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 6:30 AM