DERETAN pendaki yang terkandas di lereng GUnung Yandang. FOTO Agensi
DERETAN pendaki yang terkandas di lereng GUnung Yandang. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Detik ngeri ditempuhi ratusan pelancong pendaki gunung yang dalam keadaan ketakutan 'berjuntai' di lereng gunung setinggi 1,128 meter di Gunung Yandang, China dalam tempoh antara satu hingga dua jam selepas berlaku 'kesesakan' di laluan.

The Sun UK melaporkan pencari keseronokan itu sedang mendaki permukaan gunung berbatu di Wilayah Zhejiang China tetapi terkandas apabila acara pendakian tiba-tiba berhenti bergerak.

Beberapa pengunjung yang panik memutuskan untuk tinggal di atas gunung kerana mereka bimbang mereka perlu membayar sejumlah wang untuk 'diselamatkan' jika terkandas di situ.

Kelewatan untuk menyelesaikan perjalanan mencabar itu kerana aliran pendaki meningkat dengan ketara ketika cuti Hari Mei.

Seorang pendaki sempat menghantar nota kebimbangannya dan video kepada seorang saudaranya mengatakan mereka sudah terperangkap tidak boleh bergerak selama sejam di tebing gunung.

Pengurus di tempat tarikan pelancong di Wenzhou itu berkata, perjalanan pendaki tergendala disebabkan terlalu ramai berada di laluan yang sama.

Bilangan pelancong yang luar biasa kerana cuti Hari Mei, yang di China berlangsung 1 Mei hingga 5 Mei, namun kesesakan pada Sabtu itu akhirnya dapat diselesaikan.

Sesiapa yang panik boleh turun dengan bantuan seorang profesional, tetapi kerana perkhidmatan menyelamat dikenakan bayaran, ramai yang memutuskan untuk kekal.

Penyelaras koordinasi kawasan Gunung Yandang yang menguruskan perkhidmatan itu menjelaskan caj dikenakan itu disebabkan ramai orang tidak melengkapkan trek dan meminta untuk turun.

Wenzhou Dingcheng Sports Development Co Ltd, berkata mereka memandang rendah bilangan pendaki yang berminat untuk mendaki gunung itu.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, disebabkan salah jangkaan bilangan kehadiran pendaki, kawalan trafik kurang berkesan seperti sistem tempahan tiket dan kelemahan dalam pengurusan di tapak, pelanggan mereka terperangkap di laluan pendakian.

Firma itu juga menyatakan bahawa ia menggantung sementara jualan tiket bagi menangani perkara itu secara dalaman dan ia akan melaksanakan sistem kawalan trafik lebih baik untuk tetamu tidak lama lagi.

Imej pendaki yang tergantung di tepi tebing sambil menunggu orang lain mara menjadi tular di platform media sosial China.

Seorang pengguna mengulas: "Orang yang tidak mempunyai penyakit jantung akan mengalami penyakit jantung."

Seorang lagi menambah: "Ini sangat berbahaya. Jika tidak dapat bertahan kerana sesak akibat bilangan orang yang ramai, akibatnya akan menjadi serius."

Gunung Yandang, tempat pelancongan popular di China, dicalonkan pada 2001 sebagai tapak Warisan Dunia (Unesco) yang berpotensi dan masih kekal dalam senarai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 3:16 PM