Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kelantan, Azman Ismail (dua kanan) merasmikan Program Jualan Rahmah (PJR)  di Restoran Kasturi 8, di Jelawat, Bachok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kelantan, Azman Ismail (dua kanan) merasmikan Program Jualan Rahmah (PJR) di Restoran Kasturi 8, di Jelawat, Bachok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Bachok: Hanya dua pengusaha kedai makan di negeri ini yang mempunyai Kad Diskaun Khas Menu Rahmah berbanding 132 kedai makan yang menawarkan menu Rahmah bawah RM5 di kedai masing-masing.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kelantan, Azman Ismail berkata, kad diskaun khas itu boleh dipohon kedai makan yang berterusan menjual menu Rahmah berharga RM5 dan ke bawah selama enam bulan atau lebih.

Katanya, bagaimanapun ada sebahagian kedai makan hanya menawarkan menu Rahmah pada hari pelancaran atau berhenti sekerat jalan.

"Bagi pengusaha yang memiliki kad diskaun khas ini, mereka boleh membuat pembelian barangan di enam pasar raya di negeri ini dengan potongan sehingga 30 peratus.

"Tapi setakat ini ramai pengusaha belum buat permohonan kad diskaun khas ini, yang kita tahu ada dua iaitu kedai makan di Kota Bharu," katanya ketika ditemui selepas melancarkan menu Rahmah di Restoran Kasturi 8, di Jelawat, Bachok, di sini, tadi.

Hadir sama pemilik Restoran Kasturi 8, Azma Mohd Amin.

Dalam perkembangan lain, Azman memaklumkan Program Jualan Rahmah (PJR) akan diadakan ke 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Kelantan mulai Mei hingga Disember.

Katanya, ini tidak termasuk PJR yang akan dipohon agensi, penduduk setempat atau wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 3:02 PM