Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (kiri) menziarahi keluarga Nor Pahidah Mat Zaman (dua kiri) isteri kepada mangsa yang maut dalam kejadian dihempap pokok selasa lalu di Seksyen 24, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (kiri) menziarahi keluarga Nor Pahidah Mat Zaman (dua kiri) isteri kepada mangsa yang maut dalam kejadian dihempap pokok selasa lalu di Seksyen 24, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Oleh Ruwaida Md Zain 


Shah Alam: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menziarah keluarga Md Rizal Atan yang meninggal dunia akibat dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Ahad lalu.

Nancy mengambil masa kira-kira setengah jam menziarah isteri, empat anak mangsa yang berada di kediaman adik serta ibu bapa mangsa di Seksyen 24, di sini, hari ini.

Nancy ketika ditemui media berkata, pihaknya akan mengikuti perkembangan keluarga mangsa dari semasa ke semasa bagi melihat keperluan atau bantuan yang diperlukan bagi meringankan bebanan keluarga itu.

"Kebetulan adik Allahyarham bekerja dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ini membuatkan kami lebih mudah untuk mengetahui kisah keluarga ini.

"Hari ini, kita menziarah dan menyerahkan sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Negara iaitu wang RM3,000 serta makanan untuk meringankan bebanan keluarga.

"Kementerian sentiasa ada untuk membantu (keluarga mangsa), kita juga ada kaunselor untuk membantu memberikan sokongan moral dan sebagainya.

"Sekarang masih terlalu awal (kena beri tempoh bertenang untuk keluarga) tetapi kita akan mengikuti perkembangan keluarga ini dari semasa ke semasa," katanya.

Menurut Nancy, isteri mangsa, Nor Pahidah Mat Zaman, 43, tidak bekerja dan empat anak mereka yang berumur empat tahun hingga 19 tahun masih bersekolah.

"Tadi, saya lihat isterinya tenang, sabar. Macam kita semua, sebagai orang Islam, kita menerima takdir dan begitu juga anak-anak mangsa.

"Kita akan terus berusaha membantu mereka," katanya.

Jenazah Md Rizal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam selepas dimandi dan disolatkan di Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Md Rizal, 47, yang juga pemandu peribadi meninggal dunia akibat dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, di ibu negara, ketika dalam perjalanan ke sebuah hotel untuk menjemput tetamu syarikat majikannya.

Pada kejadian jam 2 petang itu, selain Md Rizal, dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang di atas jalan raya dan menghempap 17 buah kenderaan serta landasan monorel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 3:16 PM