JINGGO (berdiri barisan tengah empat dari kanan) bersama pelakon dan kru AMT.
JINGGO (berdiri barisan tengah empat dari kanan) bersama pelakon dan kru AMT.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Cuba lari daripada kebiasaan naskhah sebelum ini, syarikat produksi JS Pictures Sdn Bhd bakal tampil dengan karya baru berkonsepkan sitkom komedi berjudul Ahli Mesyuarat Tingkap (AMT).

Drama bersiri 20 episod ini menampilkan pelakon popular tanah air seperti Rita Rudaini, Izreen Azminda dan Sherry Al Hadad selaku watak utama.

Pengarahnya, Azman Yahya atau Jinggo berkata, AMT dianggap karya mencabar kerana ia bukan saja berunsur komedi semata-mata tetapi menggabungkan elemen muzikal bagi menarik minat penonton.

“AMT adalah konsep baru yang diketengahkan dalam penerbitan syarikat saya. Bagi menonjolkan kelainan, unsur komedi dan muzikal digabung bagi mengetengahkan aksi bersahaja.

“Namun, ia perlu dipersembahkan dalam bentuk keterlaluan sesuai dengan tagline drama ini, ‘tak ‘over’ tak sah’. Pada masa sama, saya perlu pastikan lakonan mereka seimbang agar setiap aksi itu tidak menimbulkan kritikan penonton,” katanya.

Menurut Jinggo, ‘tagline’ itu bakal memberi pengaruh tersendiri kerana ia kerap digunakan dalam setiap babak membabitkan Rita, Izreen dan Sherry.

Tambah Jinggo lagi, AMT diinspirasikan daripada siri Hollywood, Sex In The City yang menampilkan tiga sahabat dengan kisah tersendiri.

“Jalan cerita AMT ini disesuaikan dengan kehidupan masyarakat sekeliling. Biarpun ada babak yang dilihat sedikit keterlaluan dari segi gaya lakonan, tetapi paling penting adalah mesej disampaikan.

“Bukan apa, setiap episod dalam AMT memaparkan jalan cerita berbeza daripada watak utamanya. Dari situ terdapat mesej tertentu diketengahkan kepada penonton,” katanya.

Disebabkan AMT berbeza konsep, Jinggo perlu membuktikan kepada stesen TV bahawa naskhah ini mempu­nyai keistimewaan tersendiri seperti ia dibentangkan dulu.

“Apabila mengarah cerita ini saya perlu menunaikan janji. Syukur apabila pemilihan tiga watak ini mampu merealisasikan kehendak saya di lokasi. Apa yang saya bayang­kan daripada setiap watak mereka menjadi.

“Disebabkan ia berbeza jalan cerita pada setiap episod, jadi saya perlu menjaga graf lakonan mereka agar ia nampak seimbang. Setiap babak perlu dibuat dengan berhati-hati. Walaupun saya memberi kebebasan berdialog buat mereka, tetapi ia masih diberi perhatian,” katanya.

Drama ini mengisahkan tiga sahabat baik iaitu Zai (Rita), Ju (Izreen) dan Ira (Sherry) yang sering berkumpul dan berjumpa di kafe milik Datin Bobo (Kuna) jika terdapat sebarang masalah yang ingin dibincangkan.

Pertemuan mereka itu sering menarik perhatian orang sekeliling ekoran aksi mereka yang dianggap keterlaluan walaupun membabitkan masalah kecil. Ia sesuai dengan ‘tagline’ mereka, ‘tak ‘over’ tak sah’.

Pada masa sama, Ju dan Ira menaruh hati terhadap anak teruna Datin Bobo iaitu Azmel (Azrel Ismail). Kedua-dua mereka saling berahsia perkara itu sehingga masing-masing memasang misi untuk menambat hati Mel.

AMT akan ditayangkan di slot Iris TV3 bermula 22 Mac ini setiap Isnin hingga Khamis jam 6.30 petang.

Drama ini turut menampil­kan beberapa pelakon jemputan dalam setiap episod antaranya Mia Ahmad, Lufya, Nizam Rahman Dubmash dan ramai lagi.

Seronok berlakon komedi

Bagi Rita Rudaini, berlakon dalam cerita ini memberi kepuasan tersendiri untuknya.

“Saya seronok melakonkan watak sebegini. Biarpun ba­nyak menggunakan tenaga disebabkan perlu beraksi ‘over’, tetapi saya puas.

“Namun, bukan mudah sebenarnya nak berlawak apatah lagi membuatkan orang lain ketawa. Setiap episod memerlukan idea berbeza agar ia nampak pelbagai,” katanya.

Menurut Rita, menerusi drama ini lakonannya bersama Izreen dan Sherry perlu seimbang.

“Bukan saja dari segi lakonan, malah lontaran dialog juga perlu seimbang. Tidak boleh ada lebih atau kurang. Sebab itu, kami akan berlatih dialog masing-masing sebelum memulakan penggambaran,” katanya.

Sependapat dengan Rita, Izreen Azminda mengakui membintangi drama ini sesuatu yang menyeronokkan kerana watak diberikan berbeza daripada kebanyakan lakonannya sebelum ini.

“Ini kali kedua saya bekerjasama dengan Jinggo dan Sheila Rusly. Saya teruja sebab saya tahu mereka berdua mampu memberi sentuhan berbeza dalam gaya lakonan saya.

“Apatah lagi berlakon dalam cerita komedi, mereka memberi kebebasan dari segi lakonan. Namun, masih ada bahagian tertentu yang perlu dipandang serius,” katanya.

Izreen mengakui tidak sukar menzahirkan watak Ju kerana dia menjadi diri sendiri dalam drama ini.

“Saya jenis ‘gila-gila’, jadi karekter Ju ini sangat dekat dengan saya. Memang tidak ada masalah, cuma saya perlu seimbangkan dengan dialog dan dua pelakon lain,” katanya.

Sementara itu, Sherry Al Hadad tidak berfikir panjang menerima tawaran berlakon dalam drama ini apatah lagi kali pertama diberi tanggung jawab menggalas watak utama.

“Semua maklum saya selalu diberikan watak komedi. Jadi apabila ditawarkan watak Ira, saya tidak menolak kerana ia memang genre saya.

“Lagi satu, susah nak melihat pelakon komedi diberikan watak utama. Jadi, peluang diberikan pihak JS Pictures saya tidak persiakan. Tambahan pula, sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan mereka dalam drama Suami Sebelah Rumah,” katanya.

Dari segi keserasian dengan Rita dan Izreen, Sherry tidak mengalami kesukaran kerana sudah saling mengenali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 12:48 PM