Air sungai naik mendadak di Kampung Limau Kasturi sejak awal pagi tadi. FOTO Ramli Ibrahim
Air sungai naik mendadak di Kampung Limau Kasturi sejak awal pagi tadi. FOTO Ramli Ibrahim
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan memaklumkan sebanyak 20 sekolah di negeri ini tidak beroperasi pagi esok ekoran dilanda banjir.

Pengarahnya, Jaafar Ismail berkata, sekolah yang tidak beroperasi membabitkan daerah Pasir Mas (7), Kuala Krai (6), Tumpat (4) dan Tanah Merah (3).

"Penutupan semua sekolah ini kerana dilanda banjir dan jalan utama juga dinaiki air," katanya di sini, hari ini.

Manakala portal eBanjir Kelantan merekodkan, jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 622 orang pada jam 6 petang berbanding 477 orang jam 3 petang tadi.

Jumlah berkenaan membabitkan 158 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.

PPS di Pasir Mas ditutup pada jam 4 petang tadi selepas 27 mangsa pulang ke kediaman mereka.

Mangsa di Jeli terus meningkat kepada 437 mangsa daripada 109 keluarga berbanding 3 petang tadi 321 mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 6:45 PM