KEADAAN banjir di Kelantan. FOTO Faris Zainuldin
KEADAAN banjir di Kelantan. FOTO Faris Zainuldin
Siti Nor Hidayatidayu Razali


MANGSA banjir di Kelantan meningkat kepada 4,098 orang 9 malam ini berbanding 3,216 orang 6 petang tadi.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan seramai 882 mangsa.

Kesemua mangsa membabitkan 1,210 keluarga yang ditempatkan di 57 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah.

Portal eBanjir Kelantan merekodkan, jumlah mangsa banjir di daerah Pasir Mas meningkat mendadak kepada 1,182 orang membabitkan 415 keluarga berbanding 6 petang tadi, 781 mangsa daripada 249 keluarga.

Diikuti Kota Bharu 832 mangsa daripada 202 keluarga, Pasir Puteh (589 mangsa, 185 keluarga), Tanah Merah (537 mangsa, 148 keluarga), Machang (364 mangsa, 103 keluarga), Jeli (337 mangsa, 95 keluarga), Bachok (130 mangsa, 33 keluarga) dan Kuala Krai 127 mangsa daripada 29 keluarga.

Sementara itu, dua sungai utama melebihi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang bacaan masih sama iaitu 10.44 meter (m) dan Sungai Golok di Jenob meningkat kepada 24.04m daripada 23.79m.

Empat sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard.

Sebanyak 31 jalan ditutup kepada kenderaan iaitu 12 di Pasir Mas, tujuh di Machang, masing-masing empat di Pasir Puteh dan Tanah Merah serta dua di Kuala Krai, satu di Kota Bharu dan satu di Gua Musang.

Jalan Gua Musang-Jelawang-Dabong, dekat Jambatan Pulau Setelu di Gua Musang, Jalan Kok Lanas-Selising di Kampung Sokor, Kota Bharu, Jalan Selising-Kampung Tualang Tinggi, Pasir Puteh ditutup pada semua kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 10:06 PM