GUNA 100 peratus kapas organik dalam himpunan denim terutama jaket, celana dan gaun.
GUNA 100 peratus kapas organik dalam himpunan denim terutama jaket, celana dan gaun.
Nor Faizah Mohamed


Ia bagaikan festival muzik di Monki. Selesa dan ringkas, tanpa perincian keterlaluan.

Tanpa percikan rona meriah dengan serakan corak sarat seperti kelazimannya, Monki tampil lebih polos untuk himpunan musim ini.

Koleksi yang menjadi sebahagian daripada himpunan Monki Originals ini menonjolkan siluet ringkas, seiring falsafah jenama gaya jalanan popular dari Sweden itu.

Helaian longgar, lebar, kurang perincian dan polos menjadi tanda pengenalannya sementara aksesori minimum ditambah sebagai olahan gaya ikonik.

“Himpunan Monki Originals ini adalah antara usaha mempersembahkan falsafah rekaan kami kepada dunia.

“Daripada siluet denim lebar dan longgar ke padanan retro dan pakaian sukan, koleksi ini lebih santai, mudah digayakan dan versatil.

“Ia menawarkan semua keperluan yang diingini gadis Monki bagi meraikan musim baru ini,” ujar Ketua Perekanya, Caroline Carlryd.

Palet warnanya diserikan dengan simbahan rona terang dan pastel terutama putih, kelabu lembut juga biru. Corak jalur sesekali diberi tumpuan terutama pada helaian denim sementara polka dirias sederhana.

Penggunaan denim kapas organik tidak ketinggalan menjadi titik tumpuan koleksi ini dengan sebahagian lain dihasilkan daripada material lembut dan beralun.

Monki menggunakan 100 peratus kapas organik dalam himpunan denim terutama pada jaket, celana denim dan gaun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:02 AM