Oleh Nor Faizah Mohamed

Aspek kembara sering menjadi mainan dalam kanvas atau tema dalam fesyen. Aspek kembara itu dilihat sebagai unsur paling praktikal dalam menentukan haluan gaya musim terbabit, sekali gus memberi impak kepada keseluruhan trend di pentas peragaan global.

Mengambil aspek kembara sebagai tunjangnya, BCBG Maxazria (BCBG) menjelajah ke Hammamet, Tunisia bagi menyelami arus gaya santai yang dicetuskan dari dunia Arab itu.

Kawasan yang dulunya perkampungan nelayan itu mula dinaik taraf apabila pereka terkenal, Elsa Schiaparelli bersama pelukis, Paul Klee dan penulis Perancis, Georges Bernanos serta Andre Gide banyak menghasilkan karya cetusan Hammamet.

Sama seperti Elsa, Klee, Bernanod dan Gide, BCBG menjadikan keindahan di utara Tunisia itu sebagai hamparan koleksinya musim depan.

BCBG cuba meniupkan semangat ringkas dan santai dengan palet warna alam seperti krim serta putih. Namun sesekali disuntik percikan merjan dan ton dingin seperti biru.

Rekaan dan potongannya tidak keterlaluan apabila emosi keseluruhan himpunan ini berlatarkan kehidupan nomad di persisiran tropika Hammamet.

Turut disertakan rona monokrom yang diselang-selikan dengan denim untuk impak gaya yang lebih bersahaja.

Corak sarat tidak ketinggalan disertakan terutama pada gaun dan blaus sementara perincian minimum bertindak sebagai kemasan akhir bagi melengkapi koleksi ini.

Sutera menjadi fabrik pilihan utama kerana faktor dingin dan selesa yang ditawarkannya. Begitu juga kapas kuilt, crepe dan sifon yang menyerlahkan rekaan berstruktur pada sebahagian besar helaian dalam himpunan ini.

Ada sebahagian rekaan pula menggunakan fabrik tenunan jacquard dan tulle khususnya pada helaian labuh untuk impak mewah.

Skirt maksi dan blaus inspirasi lelaki dijadikan sebagai helaian luar sementara siluet longgar diberi penekanan pada gaun labuh.

Tanpa mengenepikan kepentingan aksesori, BCBG menyertakan sandal cetusan gladiator sementara kasut tumit tingginya diberikan watak wirawati nomad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:07 AM