KOLEKSI Mapei x Monki x Marawa tonjolkan kepelbagaian gaya denim.
KOLEKSI Mapei x Monki x Marawa tonjolkan kepelbagaian gaya denim.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Satu perkara yang pasti, denim tidak pernah lapuk ditelan zaman. Biar apapun trend muncul musim demi musim, helaian denim tetap menjadi pilihan sama ada untuk gaya santai atau elegan.

Lazimnya bagi si muda, ia pakaian asas dalam gaya seharian yang sesuai digandingkan dengan apa jua busana pilihan sama ada celana, kemeja-T atau kemeja, malah kadangkala bersama pakaian tradisional.

Untuk golongan lebih matang, denim biasanya sekadar pilihan hujung minggu kerana citranya yang ringkas dan santai.

Di Monki, denim adalah segala-galanya. Ia klasik, tetapi dalam masa sama ia juga kontemporari. Ia ringkas dan ada ketikanya ia menghidupkan gaya yang lebih eksentrik.

Di Monki juga, nilai persahabatan sering diangkat sebagai asas dalam falsafah rekaannya.

Dalam usaha mengangkat tema persahabatan secara global dan memperkasakan lebih ramai wanita muda menerusi fesyen, Monki hadir dengan himpunan denim menarik bagi musim ini.

Gandingan bersama penyanyi Mapei dan rakan baik­nya yang juga pemegang rekod dunia gelung hula, Marawa, koleksi kali ini mengangkat trend denim kuno ke tahap baru.

Dikenali sebagai koleksi Mapei x Monki x Marawa, kot denim dipadankan bersama kemeja polos dan sut polos sengaja digandingkan dengan skirt pendek sementara celana jean potongan longgar digayakan bersama blaus cetakan flora.

“Monki berjaya mempromosikan aspek keseimbangan hidup dalam kalangan wanita muda. Ia juga membantu memperkasakan lagi kehidupan seseorang wanita.

“Ia kualiti yang sejajar dengan fahaman saya, jadi apabila munculnya peluang untuk bekerjasama seperti ini, ia sesuatu yang amat istimewa,” kata Mapei.

Untuk bahagiannya, Marawa menyifatkan nilai yang diterapkan Monki dapat meningkatkan lagi semangat feminisme dalam kalangan wanita generasi hari ini.

“Wanita Monki ialah seorang yang bijak, aktif dan faham dengan apa yang perlu dilakukannya. Dia juga tahu bagaimana untuk melakukannya,” katanya.

Selain celana longgar yang menjadi helaian tumpuan dalam koleksi ini, Monki turut memperkenalkan seluar denim gaya Ikmo, potongan sederhana, ‘cropped boyfriend’ dan Kimomo.

“Sebagai pereka denim, saya melihat kepada aspek versatil fabrik itu. Untuk musim ini, kami mahu tunjukkan pada peminat Monki bagaimana denim boleh menjadi tanda aras fesyen yang mudah digayakan,” jelas Pengurus Koleksi dan Pereka Konsep Monki Denim, Martin Gustavsson.

Kempen koleksi ini menampilkan keseronokan yang dipaparkan dua sahabat itu dan boleh didapati di Monki 1Utama, Nu Sentral dan IOI City Mall.

Untuk keterangan lanjut mengenai jenama yang dimiliki H&M ini, boleh layari laman rasminya di Facebook (Facebook.com/monki) atau Instagram (@monki).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:04 AM