JAMBATAN gantung merentasi Sungai Kesong.
JAMBATAN gantung merentasi Sungai Kesong.
MENGABADIKAN kenangan di hadapan Gua Batu Tangkup.
MENGABADIKAN kenangan di hadapan Gua Batu Tangkup.
RUMAH penduduk kampung yang masih menggunakan dinding diperbuat daripada buluh.
RUMAH penduduk kampung yang masih menggunakan dinding diperbuat daripada buluh.
LUKISAN ‘orang lidi’ boleh dilihat dengan jelas di Gua Lukisan menandakan berkemungkinan sudah ada penempatan di situ sejak zaman purba lagi.
LUKISAN ‘orang lidi’ boleh dilihat dengan jelas di Gua Lukisan menandakan berkemungkinan sudah ada penempatan di situ sejak zaman purba lagi.
 KELAWAR yang menghuni gua batu kapur di Taman Rimba Kenong antara tarikan utama pengunjung ke lokasi pelancongan itu.
KELAWAR yang menghuni gua batu kapur di Taman Rimba Kenong antara tarikan utama pengunjung ke lokasi pelancongan itu.
TERDAPAT kesan geseran pada batu di sekitar kawasan Gua Batu Tangkup ini kerana kawasan ini dikatakan kawasan kesukaan gajah lalu dan berehat.
TERDAPAT kesan geseran pada batu di sekitar kawasan Gua Batu Tangkup ini kerana kawasan ini dikatakan kawasan kesukaan gajah lalu dan berehat.
LALUAN menarik memberikan keterujaan dalam penjelajahan Taman Rimba Kenong.
LALUAN menarik memberikan keterujaan dalam penjelajahan Taman Rimba Kenong.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Kesempatan mengikuti aktiviti jelajah gua batu kapur di Taman Rimba Kenong di Kuala Lipis, Pahang bersama sembilan rakan baru-baru ini menemukan penulis dengan pelbagai khazanah alam semula jadi.

Sudah terbayang kawasan hutan, gua, flora dan fauna, bukit, cerunan, anak sungai dan haiwan liar yang pastinya mencabar ketahanan mental dan fizikal penulis yang pertama kali menyahut pelawaan melakukan ekspedisi ‘satu hari empat gua’ itu.

Bermula dengan cabaran perjalanan menaiki bot gentian kaca dari jeti Kuala Kenong yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Kuala Lipis merentasi Sungai Jelai sebelum memasuki Sungai Kenong menuju jeti Tanjung Kiara di Kampung Dusun yang mengambil masa kira-kira 15 minit.

Pandangan mata yang tajam dapat melihat tanda paras banjir pada tahun 2014 di sebatang pokok dan difahamkan kawasan itu tenggelam sepenuhnya.

Perjalanan dari jeti sejauh dua kilometer di laluan bertar sebelum 40 minit memasuki trek hutan ke gua pertama - Gua Tangga benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal peserta.

Walaupun kaki mula lenguh dan tekak terasa kering, perjalanan tetap diteruskan untuk merasai pengembaraan dalam rimba Kenong yang menjadi impian penulis sejak dulu.

Pemandu arah Sirajuddin Abdul Molok, 30, berkata gua itu mendapat namanya daripada bentuk batu seakan-akan tangga dan melengkung serta boleh memuatkan hingga 40 orang pada satu masa.

Selepas hilang penat, perjalanan diteruskan ke Gua Batu Tangkup yang mengambil masa hampir 30 minit dan ia menjadi sarang kelawar yang boleh dilihat dari jarak dekat.

Tidak sah kalau berjalan di dalam gua tanpa mendongak melihat kelawar ‘comel’ bergayutan dan ‘berbuai’ dalam kegelapan.

Syarat tidak rasminya, anda tidak dibenarkan berbuat bising dan menyalakan lampu suluh bagi mengelak kelawar terbang serta melanggar apa sahaja yang menghalang laluannya.

Menurutnya, Gua Batu Tangkup antara kawasan kesukaan gajah. Gajah biasanya muncul di kawasan itu untuk menggeselkan badan pada dinding gua dan pengunjung boleh melihat kesan geseran pada batu-batu di sekitar kawasan berkenaan.

Lebih menarik terdapat satu hamparan batu sebesar 2.32 meter persegi dengan ketinggian mencecah hampir 2.44 meter.

“Satu tangga diperbuat daripada pokok kayu dibina penduduk tempatan untuk memudahkan pengunjung sampai ke bahagian hamparan itu,” katanya.

Mata juga terpukau dengan keadaan sekeliling yang serba menghijau dengan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan hutan dan pokok ‘gergasi’ yang mencecah usia ratusan tahun.

Perjalanan diteruskan ke Gua Telahup yang keluasannya ‘tidak seberapa’ tetapi mempunyai keistimewaan tersendiri apabila wujudnya stalakmit berbentuk seakan-akan sepasang pengantin menyebabkan digelar batu pengantin. Permukaan stalakmit ini kelihatan seperti kristal apabila disuluh dan ada antaranya masih aktif.

Akar pokok tiara yang menjalar di bahagian luar berdekatan pintu masuk pula menghasilkan satu landskap mengagumkan.

Sirajuddin berkata, Taman Rimba Kenong turut menyediakan pusat penerangan bagi membolehkan pengunjung mendapatkan informasi berkaitan kawasan itu dan aktiviti yang boleh dilakukan.

Pusat penerangan di kaki bukit batu kapur dikenali Gunung Kesong itu mempunyai pelbagai kemudahan awam seperti tandas, chalet, surau, kantin dan tapak perkhemahan di dalam gua.

Memang sesuatu yang mengujakan dan kadang kala riak muka boleh bertukar cemas serta terkejut dengan penemuan yang tidak disangka-sangka seperti bekas tapak kaki tapir, gajah selain pelbagai tumbuhan lain seperti pokok gapis, akar mempelas, halia hutan dan rambai hutan, halia liar, kulat telinga kera, pokok jati dan merbau.

Gua terakhir diteroka mempunyai keistimewaan sendiri kerana baru ditemui tiga tahun lalu iaitu Gua Lukisan atau lebih dikenali Gua Purba dalam kalangan penduduk tempatan yang mengambil masa hampir satu setengah jam dengan jarak kira-kira dua kilometer dari pusat penerangan.

Menambahkan lagi keunikan Gua Purba ini, pengunjung bakal melihat keajaiban alam semula jadi di sini.

Ia termasuk sebatang pokok ara yang dililit akarnya sendiri selain pemandangan hutan hujan yang mengujakan dari puncak Bukit Purba.

“Dikatakan gua yang ditemui pada tahun 2013 ini pernah didiami penduduk zaman purba kerana ada beberapa bentuk lukisan ditemui pada ‘siling’ gua selain serpihan tembikar lama,” katanya sambil menambah beberapa lukisan sama turut ditemui di gua lain kawasan Merapoh.

Beliau berkata terdapat juga sebuah takungan air berbentuk kolam dan hingga kini masih ditakungi air walaupun sedikit. Sebelum melangkah keluar, kami perhatikan di sebelah kiri gua itu ada hamparan untuk seorang berbaring yang mungkin dijadikan tempat tidur.

Dilihat dari bawah, tiada siapa menyangka kewujudan sebuah gua pada ketinggian hampir 40 meter.

Terdetik dalam hati begitu indah sekali ciptaan Illahi tapi untuk meneroka gua ini bukan kerja mudah kerana perlu memanjat dinding bukit berbatu tajam sebelum sampai ke pintu gua.

Banyak lagi gua yang boleh diteroka tapi pengunjung perlu menghabiskan masa beberapa hari jika mahu berbuat demikian selain boleh menempah bilik penginapan menerusi agensi pelancongan atau terus ke Pusat Penerangan Taman Rimba Kenong untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 11:31 AM