BERHUJUNG tirus ibarat disusun rapi di dinding gua.
BERHUJUNG tirus ibarat disusun rapi di dinding gua.
STALAGMIT menzahirkan diri di celah batu gua.
STALAGMIT menzahirkan diri di celah batu gua.
BAGAI batu karang di dasar laut.
BAGAI batu karang di dasar laut.
GABUNGAN stalaktit dan stalagmit yang menghidangkan pandangan menarik.
GABUNGAN stalaktit dan stalagmit yang menghidangkan pandangan menarik.
DERETAN juntaian stalaktit dirakam untuk simpanan.
DERETAN juntaian stalaktit dirakam untuk simpanan.
Oleh Nor Aziah Sharif


Kelam, gelap, dingin dan sepi sememangnya ciri asal gua di muka bumi. Perbezaannya ialah hanya pada usia gua sama ada ratusan, ribuan ataupun jutaan tahun. Bagi banyak tempat di dunia, gua ditinggalkan sepi tidak bernyawa, malap tidak berseri dan pudar tidak digilap.

Tapi bagi satu organisasi di Australia Barat, Australia lebih khusus di daerah Augusta menjadikan Jewel Cave atau Gua Permata tempat indah nan berbaloi ibarat permata untuk dilawati.

Dengan mainan lampu berwarna-warni sebagai latar menjadikan stalaktit dan stalagmit cantik. Fenomena alam ini yang tidak ada apa-apa dari segi rupa terserlah kecantikan ibarat satu seni arca sebaik digilap dengan sinaran lampu.

Dalam kunjungan ke Margaret River, Australia Barat, satu daerah yang menghidangkan panorama landskap yang indah, selain perut bumi yang memiliki jajaran 150 gua, penulis memilih melawat Gua Permata. Gua ini hanya boleh dimasuki melalui lawatan berpandu dengan bayaran A$22 (RM66) di dalam kompleks bangunan.

Lawatan berpandu diadakan setiap hari pada jam 9.30 pagi setiap sejam sehingga lawatan terakhir pada jam 3.30 petang.

Ruang lobi menunggu disediakan kaunter membeli tiket dan kafe.

Sementara menunggu waktu melawat, kami menunggu di kafe sambil minum cappuccino.

Penulis memasuki gua pada jam terakhir dan ketika itu cuma ada empat orang iaitu pasangan dari Britain dan penulis bersama anak.

Jurupandu kami seorang wanita yang sangat ramah dan ceria.

Kami memasuki gua dengan melepasi pintu masuk utama berpagar. Di kiri kanan dinding dipaparkan gambar lama Gua Permata sewaktu mula-mula ditemui.

Kami diberi peringatan supaya berhati-hati sebaik memasuki pagar dan berjalan di atas pelantar jalan kaki.

Pengunjung hanya boleh memasuki gua dengan jurupandu yang menerangkan peraturan dan ciri keselamatan ketika menjelajah gua.

Menurutnya, gua itu diuruskan oleh badan sukarela dengan mendapat geran A$500,000 dari kerajaan Australia dan selebihnya persatuan mencari dana tambahan melalui bayaran masuk gua.

Rasa dingin menyelinap tubuh penulis sebaik memasuki gua yang cantik dan besar dengan banyak pandangan menarik untuk dilihat sambil mendengar penerangan jurupandu.

Gua gelap dan dingin menjadi sangat menarik dengan pancaran lampu yang terpasang dalam gua sebaik saja dibuka jurupandu.

Memasuki Gua Permata memberi pengalaman menakjubkan dengan gabungan bentuk herot benyot yang aneh dalam perut bumi berbanding di atas muka bumi.

Gua Permata ibarat taman ajaib di perut bumi bersama-sama keunggulan paparan pelbagai bentuk terhasil daripada proses alam yang mengambil masa ribuan tahun.

Penulis menuruni sehingga ke 40 kaki ke perut bumi melalui pelantar pejalan kaki yang dibina. Nilai tambah gua cantik ini terserlah apabila pengunjung dihidangkan tayangan asli dengan bantuan pancaran cahaya lampu gabungan warna-warni lembut.

Terlihat juntaian straw stalaktit bergantungan di siling gua yang terhasil daripada proses jutaan tahun ibarat gugusan anggur dan labah-labah menari di sarang. Stalagmit pula yang meruncing ke atas dari pasak bumi melengkapkan fenomena gua.

Meneroka hingga jauh ke dalam gua membiarkan imaginasi liar menerawang dengan segala bentuk yang terhasil sama ada terbentuk seperti lilin, batu karang di dasar laut, rimba, sayuran, obor-obor dan monyet duduk yang dilihat penulis di antara skulptur kalsium.

Penulis mendengar penerangan jurupandu mengenai hayat gua itu sangat muda iaitu berusia sejuta tahun berbanding gua ternama lain.

Bermain dengan pancaran lampu sorot, jurupandu menerangkan reka bentuk di dalam gua yang terjadi serta geologi gua seperti bentuk unik aliran air bertukar keras menjadi batu, bentuk jejari titisan air yang membeku ratusan tahun sehingga membentuk stalaktit dan stalagmit yang menarik dalam kegelapan.

Tetapi segalanya terserlah dengan keindahan apabila pancaran lampu menerangi gua.

Pancaran lampu menerangi gua kelam menjadikan segala kejadian lampau yang terbentuk daripada pembekuan air cantik dan mewujudkan pemandangan memukau pengunjung, ditambah dengan penerangan terperinci jurupandu terhadap setiap kejadian di Gua Permata.

Persatuan Pelancongan Augusta Margaret River menguruskan tayangan pancaran di tiga tempat iaitu Gua Tasik, Gajah dan Permata.

Gua itu mudah dikunjungi, dengan setiap gua masing-masing mempunyai hikayat menarik untuk didengari, di samping pembentukan indah tersendiri lagi unik.

Ketiga-tiga gua yang dijaga ini dibuka kepada orang ramai setiap hari sepanjang tahun.

Antara ketiga-tiga gua yang ternama, penulis memilih Gua Permata kerana menyediakan tayangan gua paling ternama di Australia Barat.

Gua ini juga memiliki juntaian straw stalaktit terpanjang, berbanding gua pelancongan lain dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:30 AM