PENGUNJUNG memberi buaya makan.
PENGUNJUNG memberi buaya makan.
Suliati Asri

Selepas sekian lama 'berehat' di rumah dan dinasihatkan supaya jangan 'ke sana dan ke sini' bagi memutuskan penularan pandemik Covid-19, kini rakyat Malaysia sudah mempunyai sedikit kebebasan untuk bergerak.

Bosan melihat kesesakan dan hutan konkrit di bandar, meneroka beberapa permata tersembunyi di negara ini adalah pilihan terbaik.

Alam semula jadi, taman negara mahupun gua batu kapur, pastinya menanti pengunjung dengan pelbagai keunikan tersendiri.

Begitu juga taman negara di Sarawak yang mempunyai kira-kira 42 taman negara antaranya Taman Negara Bako, Taman Negara Gunung Gading, Taman Negara Kubah yang masing-masing di Kuching, Taman Negara Batang Ai di Sri Aman, Taman Negara Similajau, Bintulu dan Taman Negara Niah, Miri.

Ramai yang beranggapan semua taman negara di Sarawak adalah sama, namun hakikatnya setiap taman negara itu mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. Ia juga pastinya memberi pengalaman yang berbeza bagi setiap pengunjungnya.

Menempatkan flora dan fauna antara yang paling sukar ditemui di dunia, suasana indah mendamaikan dan keajaiban alam semula jadi, Sarawak menawarkan pengembaraan yang tiada tandingan.

Justeru, peluang mengunjungi salah satu bandar yang mempunyai permata tersembunyi iaitu Miri, Sarawak baru-baru ini menerusi Kempen Sia Sitok Sarawak Plus anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (SBT) dengan kerjasama Malaysia Airlines nyata meninggalkan 1,001 kenangan terindah.

Taman Negara Niah

Berkunjung ke Miri, antara destinasi wajib yang perlu dilawati dan diterokai adalah Taman Negara Niah.

Terletak kira-kira 110 kilometer atau satu jam 30 minit perjalanan menggunakan kereta dari bandar Miri, Tanam Negara Niah menawarkan khazanah alam yang cukup memukau.

Taman Negara Niah juga menjadi tempat empat tarikan signifikan iaitu tapak tinggalan sejarah arkeologi, sarang burung walit, batu kapur dan biodiversitinya.

Taman Negara Niah ini mempunyai keluasan 3,138 hektar merangkumi kawasan hutan dan batu kapur. Kali pertama diwartakan sebagai Monumen Bersejarah Negara pada 1958. Pada 23 November 1974, ia diwartakan sebagai Taman Negara dan dibuka kepada orang ramai pada 1 Januari 1975.

GUA Niah punya keunikan dan cerita tersendiri yang perlus diterokai.
GUA Niah punya keunikan dan cerita tersendiri yang perlus diterokai.

Gua Niah adalah kawasan penempatan manusia pada 40,000 tahun dahulu dan mempunyai salah satu pintu masuk gua terbesar di dunia.

Gua Niah juga adalah satu kompleks temuan mempunyai kaitan antara satu dengan yang lain berdasarkan kajian arkeologi dari jumpaan 'Deep Skull' era paleolitik dan kuburan besar neolitik di Lobang Kuala hingga lukisan gua di Gua Lukisan.

Menurut hasil kajian pakar sains yang diketuai Darren Curnoe, pakar paleoantropologi dari Australia yang mengkaji penemuan kerangka tulang manusia purba di Traders Cave, Gua Niah dipercayai berusia 65,000 tahun SM.

Ini bermakna Gua Niah mempunyai satu kronologi temuan berkait antara satu sama lain dengan temuan Tom Harrisson 1958 iaitu 'Deep Skull' dengan lukisan gua di Gua Lukisan.

Memulakan penerokaan di taman negara ini, selepas merentas sungai menaiki bot yang kurang seminit, kami berjalan sejauh kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke pintu Gua Niah.

Perjalanan yang mengambil masa 40 minit hingga sejam itu bagaikan tidak terasa dengan kehijauan alam semula jadi yang menyegarkan dan bunyi unggas alam persis memainkan muzik selamat datang.

SESI swafoto di jeti Taman Negara Niah sebelum memulakan penerokaan yang diketuai Pemandu Pelancong Alam Semulajadi , Boniface Thomas@Muhhamad Hayqal Abdullah (dua dari kiri) dan Penolong Pengurus Komunikasi Sarawak Tourism Board Kevin Nila Nangai (tengah).
SESI swafoto di jeti Taman Negara Niah sebelum memulakan penerokaan yang diketuai Pemandu Pelancong Alam Semulajadi , Boniface Thomas@Muhhamad Hayqal Abdullah (dua dari kiri) dan Penolong Pengurus Komunikasi Sarawak Tourism Board Kevin Nila Nangai (tengah).

Di Gua Niah ini terdapat beberapa gua yang boleh diterokai antaranya Gua Dagang (Traders' Cave), Gua Besar (Great Cave), Gua Gan Kira (Moon Cave) dan Gua Lukisan (Painted Cave).

Gua Dagang adalah gua pertama yang akan dijumpai dalam Gua Niah ini. Kira-kira 70 tahun lalu, Gua Dagang adalah pasar semasa musim pengumpulan sarang burung.

Tinggalan struktur kuno 'pondok tanpa bumbung' purba yang diperbuat daripada kayu besi (belian) antara yang menanti pengunjung di sini. Walaupun sudah puluhan tahun, ia masih kukuh walaupun dibuat tanpa menggunakan paku.

Di gua ini, pengunjung juga akan menemui dua telaga dan kesan luluhawa pada dinding dan siling ketika gua ini terendam dalam air jutaan tahun lalu.

Memasuki Gua Besar, ia memberi satu perasaan dan tanggapan yang berbeza buat penulis. Sangat besar! Bersesuaian dengan namanya, bukaan gua ini sangat besar tidak seperti gua yang pernah penulis terokai.

Gua Besar adalah salah satu pintu masuk gua yang paling menakjubkan di dunia kerana mempunyai ruang lebih besar di dalamnya.

Pemandangan dari mulut gua yang dikelilingi hutan menghijau memberikan panorama unik kerana stalaktit bergerigi dan tumbuhan menjalar berjuntai di mulut gua memberikan satu bingkai dramatik untuk gambar yang menarik.

Sesuatu yang mencuri perhatian penulis saat berada di gua besar ini adalah warna hijau di dinding dan siling gua yang mempunyai ton yang menarik.

Penulis difahamkan, warna hijau itu adalah alga yang berlaku apabila permukaan dinding gua basah dan terdedah dengan matahari.

Penyebab utamanya juga adalah tahi kelawar dan burung layang-layang yang terjatuh, ditiup angin ke arah dinding menyebabkan bakteria mudah berlaku dan menyebabkan dinding gua bertukar menjadi warna hijau.

Di sebelah kiri mulut gua, ia adalah lokasi penggalian arkeologi.

Mengikuti laluan yang disediakan di belakang Gua Besar, dengan laluan yang gelap selain perlu menuruni anak tangga, kami tiba di satu lokasi yang cukup mengujakan iaitu Gan Kira (Gua Bulan).

Tidak hanya stalaktit dan stalagmit serta formasi batuannya menakjubkan, pancaran cahaya matahari yang memasuki gua persis lampuh suluh.

Gua Lukisan juga antara yang menakjubkan dalam Gua Niah ini. Di gua itu memaparkan pelbagai lukisan lama yang mempunyai cerita tersendiri.

Namun disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan dan kesuntukan masa untuk ke destinasi seterusnya, kami tidak berpeluang untuk melihat sendiri keunikan lukisan purba itu.

Selesai meneroka Gua Niah, kami berkunjung ke Rumah Panjang Patrick Libau, Sungai Tangap Niah untuk menikmati makan tengah hari. Hidangan ayam pansuh dan ikan kelah pansuh (yang di masak dalam buluh) meningkatkan selera kami yang sememangnya layar selepas meneroka Gua Niah.

The Grand Old Lady

Selain Taman negara Niah, destinasi menarik lain yang menanti di Miri iaitu negeri kedua terbesar di Sarawak ialah Bukit Kanada (Canada Hill).

Bukit Kanada juga dikenali sebagai Bukit Telaga Minyak oleh penduduk tempatan dan terkenal dengan telaga minyak pertama yang digerudi iaitu pada 10 Ogos 1910- TELAGA MIRI No.1 atau The Grand Old Lady.

The Grand Old Lady adalah mercu tanda dengan ketinggian kira-kira 30 meter dan ia adalah monumen bersejarah yang paling penting di Sarawak.

Mendengar namanya, mungkin ramai yang beranggapan ia adalah monumen wanita tua, tetapi hakikatnya ia telaga minyak pertama di Malaysia yang digerudi dengan cara alat kawat.

REPLIKA pekerja sedang menggerudi dengan cara alat kawat.
REPLIKA pekerja sedang menggerudi dengan cara alat kawat.

Selain monumen bersejarah, pengunjung juga boleh melihat rentetan sejarah minyak yang dipaparkan di sini.

Bersebelahan The Grand Old Lady pula adalah Muzium Petronas yang mempamerkan gambar dan maklumat mengenai industri petroleum.

Kedudukannya di atas bukit menjadikan kawasan ini adalah lokasi sesuai untuk melihat pemandangan bandar Miri yang punya tarikan tersendiri serta sempadan Miri-Brunei, pelantar minyak di luar pesisir pantai dan loji penapis berhampiran Lutong.

Taman Buaya dan Hidupan Liar Miri (Miri Crocodile Farm & Wildlife Park)

Terletak di Kuala Baram, kira-kira 24 km perjalanan dari Bandar Miri, taman buaya ini persis Zoo Mini yang menempatkan bukan hanya lebih 2,000 buaya, tetapi juga beberapa jenis spesis haiwan terdiri dari spesies burung, ular sawa dan beruang.

Papan tanda 'you are entering my territory now' yang dipacak sebaik memulakan penerokaan di taman buaya ini sebagai peringatan ini adalah 'tempatnya'.

Berbekalkan landskap yang menarik dengan beberapa kolam dipenuhi bunga teratai, antara aktiviti yang menanti pengunjung termasuk melihat buaya makan, memegang dan bergambar dengan ular serta buaya dan bermain dengan burung merpati.

Di sepanjang perjalanan, pengunjung akan berjumpa sangkar haiwan lain termasuk sepasang beruang, binturong dan paling mengujakan adalah buaya terbesar di taman ini 'super crocodile.' Buaya air tawar ini berusia 70 tahun dan mempunyai berat satu tan.

Berkeluasan sembilan hektar, taman buaya ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang, bayaran masuk ke taman ini adalah RM25 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak bawa 11 tahun.

Pelbagai tarikan menarik di Sarawak

Antara destinasi menarik lain yang ditawarkan di Miri dan wajib dikunjungi termasuk Miri Heritage Centre iaitu lokasi jualan pelbagai barangan kraftangan pendudukan tempatan.

Inginkan pemandangan matahari terbit yang mempesona, kunjungan ke Coco Cabana adalah tempatnya. Tamu Kedayan, Lian Hua San Ching Tien Temple dan Pasar Malam Saberkas menanti dengan pelbagai keterujaan.

PELBAGAI barangan kraftangan yang menarik menanti di Miri Heritage Centre.
PELBAGAI barangan kraftangan yang menarik menanti di Miri Heritage Centre.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 7:00 AM