PEMANDANGAN batuan di Gua Buaya seakan-akan berbentuk reptilia itu.
PEMANDANGAN batuan di Gua Buaya seakan-akan berbentuk reptilia itu.
Oleh Zaitie Satibi


KEBIASAANNYA jika berkunjung ke Pulau Langkawi di Kedah antara destinasi utama yang menjadi tumpuan adalah pantai bersih dengan air yang jernih, pusat beli-belah bebas cukai dan lokasi bersejarah berkaitan legenda Mahsuri.

Namun, sekumpulan 14 peminat kegiatan lasak dari ibu negara memilih untuk melawat hutan paya bakau di Kilim Karst Geoforest Park yang sangat unik dan istimewa dengan kepelbagaian bio, di samping keindahan alam semula jadi.

Keunikan hutan paya bakau di satu daripada tiga Taman Georimba itu disebabkan pokok bakau tumbuh subur di kawasan landskap batu kapur sekali gus menghidangkan pemandangan yang menakjubkan. Landskap batu kapur yang unik dan antara terindah di dunia itu terbentuk daripada proses hakisan serta cuaca.

Taman Georimba itu turut diisytihar Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai warisan geologi purba yang berusia lebih 500 juta tahun.

Dua lagi kawasan adalah Machinchang Cambrian Geoforest Park dan

Dayang Bunting Marble Geoforest Park.

MENEROKA Gua Kelawar pada waktu malam.
MENEROKA Gua Kelawar pada waktu malam.

Mengikuti lawatan yang diatur H.A.S Langkawi Mangrove Tour & Night Safari, kumpulan berkenaan menaiki bot menyusuri hutan paya bakau menerusi Sungai Kilim sambil ditemani seorang jurupandu pelancong, Ahmad Hazril Adnan.

Lawatan hutan paya bakau disediakan pengendali pelancong ini menampilkan kelainan apabila ia dilakukan pada sebelah malam berbanding perkhidmatan lain yang dijalankan pada sebelah pagi. Mereka bertolak dari jeti Kilim Karst Geoforest Park jam 4.30 petang.

Bagi Mohd Firdaus Shamsudin, 29, lawatan berkenaan memberikannya pengalaman yang berbeza berikutan sebelum ini dia sudah terbiasa menyertai aktiviti mendaki gunung dan merentasi hutan hujan tropika.

“Kami dibawa menyusuri hutan paya bakau yang menghijau dan meredah sungai yang bersih dengan suasana yang menenangkan. Mata asyik melihat ke segenap pelosok pemandangan yang ada di sekeliling seolah-olah tidak mahu terlepas sebarang momen.

“Ketika itu terasa betapa indahnya sebahagian alam ciptaan Tuhan. Kawasan paya bakau di Sungai Kilim ini ternyata berbeza kerana bukan saja menyajikan paya bakau yang menjadi habitat pelbagai haiwan, malah kami turut disajikan pemandangan bukit batu kapur dengan bermacam rupa bentuk yang unik.

“Sepanjang perjalanan kami juga didedahkan dengan pelbagai tarikan yang ada dan maklumat mengenainya dijelaskan dengan baik oleh jurupandu. Malah, jurupandu turut berhenti di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan pelancong,” katanya.

Katanya, lokasi yang menjadi hentian pertama mereka adalah sangkar ternakan ikan terapung yang diusahakan oleh penduduk di kawasan berkenaan dan kumpulannya diberi penerangan ringkas mengenai teknik ternakan ikan moden, selain berpeluang memberi makan serta bermain dengan ikan-ikan yang ada.

MERAKAM kenangan berlatarbelakang batu kapur dan papan tanda Kilim Geoforest Park.
MERAKAM kenangan berlatarbelakang batu kapur dan papan tanda Kilim Geoforest Park.

“Kami sungguh seronok dapat melihat beberapa spesies ikan laut dengan lebih dekat. Ikan yang bersaiz agak besar itu akan melompat-lompat ketika diberi makan, malah ada ikan yang jinak seperti pari yang boleh dipegang.

“Selepas itu kami dibawa melawat Gua Buaya, tiada buaya kelihatan di gua berkenaan sebaliknya ia dipanggil sedemikian kerana bentuk batuan berdekatan gua itu dilihat seakan-akan berbentuk buaya.

“Seterusnya kami dibawa ke lokasi melihat helang yang juga ikon Pulau Langkawi. Memang banyak helang berterbangan mencari makan, malah pengunjung boleh memberi makanan kepada burung ini. Kami teruja melihat helang menyambar makanan yang dilempar,” katanya.

Selepas melihat helang, kumpulan berkenaan dibawa ke hilir sungai menuju ke kawasan laut terbuka, Laut Andaman. Ia adalah kawasan terkenal menghubungkan sungai ke laut luas membolehkan pengunjung menikmati keindahan laut yang berhampiran sempadan Thailand.

Rakannya, Ahmad Syihan Ahmad Sani, 28, berkata Kilim Karst Geoforest Park adalah destinasi yang wajib dilawati jika berkunjung pulau legenda ini kerana menyediakan peluang untuk menghabiskan masa meneroka dan menghargai keindahan alam semula jadi serta mendapat pengetahuan mengenai ekosistem.

“Kawasan Taman Georimba ini membolehkan kami menikmati alam semula jadi secara lebih dekat dan melihat keindahan formasi gunung-gunung batu kapur sambil bot menyusuri sungai hutan paya bakau,” katanya.

Katanya, kumpulannya kemudian dibawa semula ke sangkar ternakan ikan terapung sebaik hari mulai gelap untuk menikmati hidangan makan malam secara BBQ sebelum pengembaraan mereka disambung dengan meneroka Gua Kelawar.

“Tiba di Gua Kelawar suasananya sedikit menyeramkan, bertemankan lampu suluh kami dibawa jurupandu memasuki gua dan perasaan takut itu segera hilang sebaliknya diganti dengan rasa kekaguman melihat keunikan stalaktit dan stalagmit yang terbentuk semula jadi,” katanya.

BERMAIN dengan ikan pari yang jinak.
BERMAIN dengan ikan pari yang jinak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 12:14 PM