BARISAN pelakon membaca skrip ketika sesi latihan.
BARISAN pelakon membaca skrip ketika sesi latihan.

Pertubuhan Teater Hidayah dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN), Kolej Vokasional Sepang, Persatuan Ibu Bapa Dan Guru Vokasional Sepang (PIBG) serta dua fasilitor Program Penghayatan Sastera Dan Budaya (PPSB) akan menganjurkan program Citra Puisi Tanahair.

Justeru, sebuah teater pendek berjudul Resah 13 Purnama arahan Azlansham Ismail dipentaskan di Kolej Vokasional Sepang pada 5 November ini.

Sesuai dengan sambutan Hari Kebangsaan yang baru berlalu, Resah 13 Purnama sarat dengan mesej tersirat, perebutan kuasa dan menekankan kepentingan bersatu dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan negara.

Pengerusi Pertubuhan Teater Hidayah yang juga penulis skrip Resah 13 Purnama, Kamarul Ar berkata, teater ini dipilih sebagai aktiviti Hidayah tahun ini dan permulaan untuk pementasan akan datang.

“Biarpun program ini berskala sederhana, kami melihatnya sebagai peluang terbaik bagi memberikan pendedahan kepada generasi baru untuk mengenali teater, puisi dan gurindam selain merapatkan hubungan antara kolej dan seni.

“Citra Puisi Tanahair dianjurkan untuk mempopularkan teater dan dunia puisi dalam kalangan pelajar kolej.

“Ia juga bagi mencetuskan perasaan bangga dengan melihat penulisan puisi menjadi instrumen menggarap kecintaan terhadap negara dan bangsa,” katanya.

Penyelaras Program Teater Resah 13 Purnama,Yusry Kamaruzaman pula berkata, Citra Puisi Tanahair dan teater pendek ini menjadi perantaraan bagi menggarap, menimbulkan dan menyuarakan kata-kata indah dan memartabatkan seni dalam kalangan pelajar kolej dan umum.

“Teater ini akan diperkuatkan dengan penampilan aktivis teater berpengalaman iaitu Salman Al Farisi dan Aine Yusof.

“Di dalamnya mengandungi pelbagai persembahan sajak, puisi, gurindam, syair, tarian, dekon dan nyanyian lagu rakyat serta patriotik yang menampilkan Datuk Jalaluddin Hassan, Roslan Madun, Milyana Arshad, Saiful Khairi, Syed Mahadzir Syed Ibrahim dan ramai lagi termasuk pelajar Kolej Vokasional Sepang, “ katanya.

Teater Resah 13 Purnama mengisahkan negara Desa Hamparan Intan kacau-bilau berikutan rampasan kuasa oleh pihak yang mempunyai kepentingan mengaut keuntungan hasil bumi.

Penduduk asal Desa Hamparan Intan tidak mahu berpeluk tubuh lantas mengumpulkan pahlawan desa bagi menentang hasrat petualang yang mahu merampas tampuk pemerintahan Ratu Purba.

Di atas semangat perpaduan dan kecintaan terhadap Desa Hamparan Intan, Ratu Purba bangun menentang hasrat mereka.

Pelakon yang terbabit dalam teater ini ialah Deen Sitara (Bumi),Wati Kahar (Ratu Purba), Danial Bego (Wira), Rabiatul Adawiah (Srikandi), Marup Mustapa (pahlawan) dan Nazli Nordin (pahlawan).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 12:07 PM