KOLEJ Vokasional Keningau, Sabah terus melakar kejayaan apabila lapan pelajarnya mendapat tempat pertama pada festival seni Art Marathon in France, baru-baru ini. FOTO ihsan pembaca
KOLEJ Vokasional Keningau, Sabah terus melakar kejayaan apabila lapan pelajarnya mendapat tempat pertama pada festival seni Art Marathon in France, baru-baru ini. FOTO ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kolej Vokasional Keningau, Sabah, terus melakar kejayaan apabila lapan pelajarnya mendapat tempat pertama pada festival seni Art Marathon in France, baru-baru ini.

Pasukan jurusan bakeri dan pastri kolej terbabit mendapat tempat pertama dalam kategori teater pembaca yang dilaksanakan secara dalam talian pada 5 Disember lalu.

Pasukan itu terdiri daripada Nur Anne Juehanna Azalan, Michel Anabella Samuil, Nur Syazwina Nazir, Natasha Emiley Nicoly Francis dan Rezky Aulia Nawir, Saidatul Zahara Jaslin, Aimee Farah Adhirah Aminul dan Iqmal Qhairi Naidu Muhd Syukur yang semuanya adalah pelajar tahun dua.

Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau, Dr Mohd Sirhajwan Idek berkata, pasukan pelajar itu mempertaruhkan persembahan merekabertajuk 'Butterfly' dan boleh diakses di youtube.

Menurutnya, pasukan berkenaan dibahagikan kepada lima pelajar yang bertindak sebagai pelakon, manakala tiga lagi sebagai kru.

"Teater pembaca adalah gaya pembacaan skrip secara dramatik tanpa menggunakan unsur pementasan seperti alat peraga, kostum dan pemandangan latar belakang.

"Skrip persembahan adalah hasil karya mereka sendiri yang mengisahkan perubahan fasa kehidupan dari peringkat remaja sekolah sehinggalah memasuki alam pekerjaan dan seterusnya mendirikan rumahtangga serta berkeluarga," katanya semalam.

Katanya, pengarah kolej, Johari@Jaibet Sabin, menganggap pencapaian itu sebagai tanda bakat pelajar dalam bidang seni yang wajar diasah kerana mampu membentuk pelajar menjadi kreatif dan menghargai warisan budaya.

"Beliau berharap amalan penerapan seni dalam bidang pendidikan terus diperkembangkan dalam sistem pendidikan tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 4:52 PM