MOHD Sirhajwan (kiri), Nurazilah (kanan) dan Sydney (tengah) dipilih sebagai finalis Anugerah Inovasi Pendidikan UK dalam kategori inovasi tempatan. FOTO Ihsan Mohd Sirhajwan Idek.
MOHD Sirhajwan (kiri), Nurazilah (kanan) dan Sydney (tengah) dipilih sebagai finalis Anugerah Inovasi Pendidikan UK dalam kategori inovasi tempatan. FOTO Ihsan Mohd Sirhajwan Idek.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Projek 'Dau-Dau' yang bermaksud dahulu kala dalam Bahasa Bajau membawa tuah kepada tiga guru ini apabila dipilih sebagai finalis Anugerah Inovasi Pendidikan United Kingdom dalam kategori inovasi tempatan.

Projek yang menggabungkan seni persembahan, penulisan dan visual, diilhamkan tiga guru Bahasa Inggeris di Kolej Vokasional Keningau, Sabah iaitu Dr Mohd Sirhajwan Idek, 35; Nurazilah Othman, 42, dan Sydney Engelbert Ganggang, 28.

Mohd Sirhajwan berkata, permohonan menyertai pertandingan itu dihantar pada Mac lalu, sebelum menerima e-mel pada Mei lalu, memaklumkan projek itu berjaya mara ke pemilihan seterusnya.

Menurutnya, mereka kemudiannya dimaklumkan projek berkenaan disenarai pendek bersama lima finalis lain dalam kategori itu pada Khamis lalu, iaitu sehari sebelum Hari Malaysia iaitu 16 September.

"Kami sangat gembira dan berbangga apatah lagi ia diumumkan sehari sebelum Hari Malaysia. Ini tuah percubaan pertama kami dan kali pertama negara berjaya tersenarai sebagai finalis untuk anugerah ini.

"Ia sekali gus sebagai pengiktirafan untuk negara khususnya komuniti pendidikan. Sememangnya kami menaruh harapan untuk menang dan dapat mengharumkan nama negara," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengulas lanjut, Mohd Sirhajwan berkata, projek itu turut membabitkan pelajar kolej terbabit yang menghasilkan karya seni persembahan, penulisan dan visual, bertemakan warisan budaya serta bahasa pengantaranya adalah Bahasa Inggeris.

Menurutnya, projek seni itu sekali gus mendidik pelajar menerokai dan lebih memahami sekali gus menghormati budaya pelbagai etnik serta kaum.

"Bagi seni persembahan ia membabitkan seperti penyampaian cerita, teater, deklamasi sajak dan puisi, manakala penulisan seperti cerpen, puisi, karangan dan lagu serta visual seperti lukisan. Mereka boleh terangkan mengenai bahasa Bajau, Dusun atau ceritakan mengenai legenda.

"Kami rasa seni berkait rapat dengan budaya dan di Sabah sendiri ada pelbagai etnik. Jadi penting untuk kita memelihara warisan budaya supaya pelajar mengetahui lebih mendalam identiti etniknya," katanya.

Katanya, projek itu bermula hujung tahun 2020 dan penyertaan itu atas cadangan dan sokongan mentor pasukannya iaitu Adrian Underhill serta suami isteri, Charles Hadfield dan Jill Hadfield.

"Projek ini juga kesinambungan aktiviti pelajar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dan ia untuk membimbing pelajar menghasilkan karya sendiri," katanya.

Selain projek Dau Dau, lima lagi finalis kategori sama ialah Brazil, Peru, Greece, Ukraine dan United Kingdom.

Keputusan pemenang anugerah akan diumumkan pada 30 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 10:21 AM