BABAK menyayat hati antara Datuk Bendahara dan Tengku Zulkefli.
BABAK menyayat hati antara Datuk Bendahara dan Tengku Zulkefli.
Ridzuan Abdul Rahman


SUKAR untuk membatalkan atau meminda tarikh kerana perancangan dibuat sejak awal. Lebih-lebih lagi ia membabitkan ramai pihak yang sudah menyatakan komitmen. .

Justeru, Persatuan Teater Hidayah tetap meneruskan persembahan teater purbawara Batu Belah yang berlangsung pada 11 sehingga 13 Ogos ini di Dewan Tunku Abdul Rahman (Matic) walaupun tarikh 12 Ogos bertembung dengan hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengarahnya, Yusry Kamaruzzaman berkata, perancangan persembahan itu sudah dibuat lebih awal bersama produksi, malah tempahan dewan juga sudah dibayar untuk tujuan terbabit.

"Untuk mementaskan teater bukan ambil masa sehari dua, tapi berbulan-bulan. Apabila perancangan dibuat dan dimuktamadkan tarikhnya, kami mula bergerak memulakan sesi latihan sejak 20 Jun lalu dengan semua 30 pelakon termasuk kru produksi seramai 70 orang.

"Tak dinafikan pengumuman PRN agak menyentap semangat kami, tapi saya dan pasukan tetap teruskan kerana impian yang membara daripada semua pihak yang seakan-akan tidak sabar mempersembahkan teater menarik ini.

"Ia kerana persembahan teater purbawara ini sempurna apabila menampilkan nyanyian gurindam, seni silat, tarian tradisional dan ada unsur kekaguman serta aksi semuanya atas satu pentas," katanya.

Menerusi teater ini juga, penonton akan dapat mendengar lagu terbaharu nyanyian penyanyi dan pelakon Zack Kool hasil ciptaannya sendiri manakala lirik oleh Kamarul AR.

Zack atau nama sebenarnya Zulkifli Mohamad berkata, kali terakhir dia berlakon dengan teater Hidayah ialah dua tahun lalu.

ANTARA babak cemas dalam teater ini.
ANTARA babak cemas dalam teater ini.

"Saya hanya membuat kemunculan khas sebagai Tengku Zulkefli yang turut menyanyikan lagu tema berjudul Batu Belah dalam satu babak bersama Bendahara lakonan Kamarul AR.

"Sebagai pelakon, watak kecil atau besar itu tak diambil peduli. Yang penting kita kena isi peluang diberikan. Itu matlamat utama yang nak dicapai.

"Kita mempelajari semula skil dalam lakonan teater dan purbawara bangsawan. Jadi, kita kena tingkatkan cara teknik terbaharu untuk diri kita. Itu sebabnya saya terima tawaran," katanya.

Menurutnya, dia lahir daripada bangsawan menerusi pembelajaran di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) pada 1996.

"Itu sebab saya jadi pelakon sekarang. Berkenaan lagu Batu Belah pula, sebagai pelakon dan tahu isi kandungan cerita, bila pengarah bagi skrip pun saya dah faham ceritanya.

"Apabila diberikan lirik berbentuk puisi, saya telitikan perlahan setiap baitnya, baru saya tahu kisahnya. Bila dah faham, saya menangis kerana tahu ceritanya berkenaan seseorang.

"Ia luahan dirinya. Tugasan saya dah jadi lain. Saya juga kena tahan diri jangan menangis ketika menyanyi kecuali dalam babak yang menyentuh perasaan ini. Liriknya adalah kisah hidup Kamarul AR sendiri," katanya.

Batu Belah mengisahkan satu keluarga yang hidup dalam serba kemiskinan. Si ayah meninggal dunia dan ibu merajuk lari hingga ditelan batu.

YUSRY yakin teater Batu Belah terima sambutan.
YUSRY yakin teater Batu Belah terima sambutan.

Dua beradik iaitu Melor dan Pekan membawa diri ke Desa Kerayong dan dibela seorang nenek dari kecil hingga dewasa.

Apabila dewasa, Pekan memiliki seekor ayam jantan dan kerana tuah ayam jantan itu, dapat bertakhta sebagai Raja Muda seterusnya berkahwin dengan seorang puteri jelita.

Selain Zack Kool, teater ini turut menampilkan pelakon popular Datuk Jalaluddin Hassanl, Lan Zailan dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 6:05 AM