SITI Nur Hanisah Omar Hashim meraih tempat pertama pertandingan menulis haiku di festival seni ‘Argentine Gathering’ yang berlangsung secara dalam talian. FOTO IHSAN PEMBACA.
SITI Nur Hanisah Omar Hashim meraih tempat pertama pertandingan menulis haiku di festival seni ‘Argentine Gathering’ yang berlangsung secara dalam talian. FOTO IHSAN PEMBACA.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Pelajar Kolej Vokasional Keningau, Sabah menempa nama di persada antarabangsa selepas meraih tempat pertama pertandingan menulis haiku di festival seni, Argentine Gathering yang berlangsung secara dalam talian, kelmarin.

Pelajar jurusan pendidikan awal kanak-kanak, Siti Nur Hanisah Omar Hashim menyertai festival seni yang berpangkalan di Buenos Aires, Argentina, dan ia anjuran Monolit Festivals iaitu persatuan seni di Eropah.

Deklamasi puisi itu disampaikan Nur Hanisah melalui rakaman video.

Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau, Dr Mohd Sirhajwan Idek berkata, Hanisah menulis 10 puisi haiku dengan menjadikan ibu bapa dan suasana sekolah sebagai sumber inspirasi.

Menurutnya, haiku adalah puisi berasal dari Jepun dengan format tersendiri dan terdiri dari tiga barisan ayat dengan suku kata spesifik iaitu lima suku kata bagi ayat pertama, tujuh suku kata bagi ayat kedua dan lima suku kata ayat terakhir.

"Dua ayat pertama adalah pembayang bagi ayat ketiga yang menyampaikan maksud atau mesej sebenar puisi berkenaan.

"Puisi haiku dianggap sebagai salah satu warisan budaya sastera Jepun yang selalunya bertemakan alam semula jadi.

"Hanisah pernah menghadiri beberapa bengkel menulis haiku dianjurkan sekolahnya dengan jurulatih dari Britain dan Amerika Syarikat melalui aplikasi Google Meet," katanya dalam kenyataan.

Mohd Sirhajwan berkata, Pengarah kolej berkenaan, Johari @ Jaibet Sabin turut mengucapkan tahniah kepada pelajar berkenaan atas pencapaiannya itu.

"Diharap pelajar terus menghasilkan karya seni yang mampu meningkatkan kemampuan untuk memelihara warisan budaya, menguasai bahasa Inggeris serta mengasah bakat dalam bidang persembahan, penulisan dan visual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 10:30 AM