TAJUL Urus (kanan) melihat pelukis APK melakarkan karya di kanvas.
TAJUL Urus (kanan) melihat pelukis APK melakarkan karya di kanvas.
RAMLI (kiri) sewaktu mengiringi gimik perasmian pameran Lakaran Daerah Kuala Muda oleh Tajul Urus (dua dari kanan).
RAMLI (kiri) sewaktu mengiringi gimik perasmian pameran Lakaran Daerah Kuala Muda oleh Tajul Urus (dua dari kanan).
Sabaruddin Abd Ghani


Orang ramai yang meminati bidang seni lukis kini berpeluang mempelajarinya menerusi bengkel percuma anjuran Angkatan Pelukis Kedah (APK) sempena pameran Lakaran Kuala Muda yang berakhir hujung Oktober ini.

Bengkel berkenaan diadakan di kompleks beli-belah SP Plaza, Sungai Petani, pada setiap Sabtu bermula 11 pagi hingga 2 petang dan dikendalikan ahli APK yang mempunyai bakat istimewa dan berpengalaman dalam bidang seni lukis.

Setiausaha Kehormat APK, Ramli Samsuri, 47, berkata, mereka yang meminati serta berbakat perlu memanfaatkan peluang itu kerana ahli APK yang berpengalaman dalam pelbagai genre lukisan iaitu potret, realisma, cat minyak, cat air, bertemakan ketuhanan, alam sekitar dan abstrak akan memberi pendedahan cara melukis dengan tepat.

“Bengkel secara teori dan praktikal itu membolehkan peserta memahami cara melukis yang perlu dipraktikkan menerusi penghayatan dan imaginasi tema sekali gus dapat menghasilkan lukisan berkualiti tinggi.

“Pameran Lakaran Kuala Muda selama sebulan ini bertujuan mengetengahkan khazanah di daerah ini seperti keindahan alam semula jadi, sosiobudaya, adat resam komuniti setempat, produk pelancongan dan kemanusiaan supaya orang ramai dan pelancong mencintai daerah ini.

“Seramai 40 pelukis APK dan 30 pelukis penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok mengambil bahagian menjayakan pameran ini dengan setiap pelukis menghasilkan karya pelbagai tema,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pameran itu.

Pameran anjuran APK dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dan UiTM Merbok itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Turut hadir, Pembantu Kurator Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Saripah Abu Bakar.

Kira-kira 300 hasil karya pelbagai tema yang dihasilkan pelukis APK dan penuntut UiTM menggunakan cat minyak dan akrilik dipamerkan untuk jualan.

“Golongan muda kumpulan sasaran kami untuk diberi bimbingan dalam bidang seni lukisan supaya mereka tahu memanfaatkan ruang dengan aktiviti melukis.

“Menerusi karya yang dilukis bertemakan sosiobudaya, komuniti dan kenegaraan, ia boleh membantu mempromosikan negara di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan pelukis tempatan dalam pameran di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Tajul Urus berkata, kerajaan sentiasa mengikuti perkembangan pelukis APK yang kebanyakannya berpengalaman luas dalam bidang itu, malah ada antaranya pernah menyertai pameran di peringkat global dan hasil tangan mereka bernilai tinggi setanding pelukis Barat.

“Kerajaan menghargai jasa pelukis di negeri ini dalam memperjuangkan bidang lukisan berikutan komitmen mereka membantu mempromosikan destinasi pelancongan, mengetengahkan aktiviti sosio-budaya dan kesenian menerusi pameran yang diadakan.

“Kita mempunyai Balai Seni Negeri di Alor Setar yang membantu ahli APK atau penggiat seni lain menganjurkan pameran atau program seumpamanya bagi membolehkan masyarakat mengembangkan minat belia untuk berkarya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 5:18 AM