LUKISAN bertajuk ‘The Last Meal’.
LUKISAN bertajuk ‘The Last Meal’.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


LUKISAN boleh dijadikan sebagai medium untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih menghargai khazanah alam di negara ini.

Menyedari perkara itu, Persatuan Penggiat Seni Lukis (PELUKIS) Kelantan menganjurkan Pameran PUPUS di Balai Seni Lukis Kelantan bermula 5 Januari hingga 28 Februari ini.

Program dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.

Sebanyak 62 lukisan berkaitan pelbagai hidupan liar yang dihasilkan oleh 36 artis tempatan dan luar Kelantan.

Antara karya yang menarik perhatian termasuk Ops Pindah Gajah, 'The Last Meal' dan Ke Mana Harus Ke Pergi.

Lukisan dihasilkan menggunakan pelbagai medium termasuk cat air, cat minyak, akrilik, bitumen dan dakwat

PAMERAN PUPUS.
PAMERAN PUPUS.

KARYA pelukis bernama Li Mar bertajuk Ops Pindah Gajah.
KARYA pelukis bernama Li Mar bertajuk Ops Pindah Gajah.

LUKISAN yang dihasilkan dengan medium akrilik.
LUKISAN yang dihasilkan dengan medium akrilik.

Pengerusi PELUKIS Kelantan, Ramlee Hamzah berkata, pameran ini bertujuan mempamerkan hasil karya artis malah sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Menerusi pameran ini kita berharap pengunjung akan dapat lebih menghargai khazanah alam dan memupuk semangat untuk melindungi hidupan liar yang diancam kepupusan.

"Sebagai contoh, seperti badak sumbu Sumatera yang kini sudah pupus sepenuhnya di negara ini. Untuk mengelakkan daripada perkara ini terus berlaku, kempen kesedaran perlu terus dijalankan.

"PUPUS juga adalah wadah penyampai maksud melalui lakaran dan goresan pelbagai warna dari tarian tangan-tangan seni di kanvas untuk terus dihayati bersama-sama," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, sambutan yang diberikan pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat sangat menggalakkan.

"Rata-rata pengunjung memberi maklum balas positif dan berpuas hati dengan karya yang dipamerkan," katanya.

ANTARA pengunjung yang hadir.
ANTARA pengunjung yang hadir.

Bagaimanapun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, jumlah pengunjung agak berkurangan.

"Balai Seni Lukis Kelantan mengadakan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka, mengimbas suhu badan dan menyediakan cecair pembasmi kuman," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, pihaknya berhasrat dapat bekerjasama dengan pelbagai jabatan kerajaan dan agensi untuk menjayakan kempen kesedaran kepada masyarakat.

"Kami juga bersedia bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dengan mengadakan pertandingan melukis, bengkel seni lukis dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 6:27 AM