AZNIL Nawawi.
AZNIL Nawawi.
Ramlah Zainal


Hampir tiga dekad berkecimpung dalam industri hiburan tanah air, nama pengacara serba boleh Datuk Aznil Nawawi tidak perlu diperkenalkan lagi.

Selain memiliki nama yang besar, personaliti yang lebih mesra disapa Pak Nil, 54, ini juga memiliki kerjaya yang kukuh dalam dunia penyiaran.

Antara program pernah dikendalikan ialah bual bicara, rancangan kanak-kanak, kuiz dan program realiti televisyen.

Namun, kata Aznil, dia juga lebih suka bersikap sederhana dalam segala hal sejak dulu.

“Dalam soal karier sekalipun, saya juga mengamalkan sikap sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk. Alhamdulillah, walaupun kemunculan ramai pengacara dan bakat baru, saya tetap mampu bertahan dalam dunia penyiaran sampai hari ini,” katanya.

Begitu juga dalam soal perniagaan di mana Aznil tidak mahu mempromosikan produk kosmetiknya secara berlebihan atau menjadi penaja seperti dilakukan peniaga komestik popular lain.

“Saya sudah mempunyai nama yang kukuh dan dikenali ramai. Justeru, saya tidak mahu promosi keterlaluan yang boleh menimbulkan riyak kepada peniaga lain termasuk bercerita soal keuntungan produk.

“Mungkin peniaga lain perlu berbuat demikian untuk menarik orang mengetahui produk mereka. Saya pula tidak mahu bercakap lebih-lebih kerana ia boleh membahayakan aspek keselamatan, perasaan dengki dan taktik jahat daripada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati kepada saya nanti,” katanya.

Pada masa sama, Aznil turut menafikan dakwaan dia enggan terbabit dengan mana-mana karnival jualan membabitkan artis kerana tarafnya sebagai artis elit.

“Saya ada dengar orang kata saya artis elit yang tidak mahu terbabit dengan karnival jualan seperti itu. Kalau saya artis elit, saya tidak akan menjual produk dengan harga RM199 saja. Sebenarnya, saya tidak dapat turut serta dalam karnival dianjurkan pihak lain sebelum ini kerana jadual kerja yang padat,” katanya.

Pertimbang tawaran ke Hollywood

Cerita Aznil bakal menjadi pengacara program di saluran hiburan antarabangsa E! sudah diketahui ramai.

Namun, hingga hari ini Aznil masih belum sedia berkongsi lebih terperinci mengenai perancangannya untuk menempa nama ke Hollywood itu kepada umum.

“Pihak Astro tidak menghalang hasrat saya ke Hollywood dan sentiasa menyokong apa yang terbaik untuk masa depan karier saya. Namun, saya masih mempertimbangkan tawaran daripada pihak E! itu kerana banyak aspek yang perlu diambil kira.

“Selain membabitkan kos yang tinggi, ibu saya baru meninggal dunia dan banyak perkara perlu diselesaikan terlebih dulu membabitkan urusan keluarga. Saya juga ada perniagaan yang baru hendak berkembang dan perlu berbincang dengan rakan kongsi sebelum mengambil keputusan penting itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 7:38 AM