MENYAMBUT ulang tahun ke-10 Astro Ceria.
MENYAMBUT ulang tahun ke-10 Astro Ceria.
Ramlah Zainal

Nama pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi sudah sebati dengan program kanak-kanak di saluran Astro Ceria, sejak dulu.

Antaranya ialah program terbaik Astro Ceria iaitu Tom Tom Bak yang cukup popular dalam kalangan kanak-kanak.

Justeru, tidak hairanlah Aznil, 54, juga diberi kepercayaan selaku penaung saluran Astro Ceria yang kini mencecah usia 10 tahun.

Secara peribadi Aznil yang lebih mesra disapa Pak Nil mengakui saluran Astro Ceria dan program Tom Tom Bak cukup dekat dengan dirinya.

“Sepanjang mengendalikan Tom Tom Bak, saya juga dapat melihat pelbagai perubahan dan perkembangan dalam program popular kanak-kanak itu setiap tahun.

“Malah, saya juga dapat melihat bekas peserta Tom Tom Bak yang membesar dalam program ini seperti pelakon terkenal Elfira Loy, Haziq dan Wafiy yang pernah menjadi peserta pada usia enam tahun.

“Ada juga bekas peserta Tom Tom Bak yang memasuki program The Band sebelum ini.

“Justeru, saya berharap penerbit dapat mengadakan majlis reunion untuk mengimbas kembali kegemilangan Tom Tom Bak,” katanya yang juga Naib Presiden Pengurusan Bakat ‘On Air’ Astro.

Apa yang memberangsangkan, kata Aznil, program Tom Tom Bak juga berjaya menembusi pasaran Indonesia. Dua lagi program Astro Ceria yang menembusi di sana ialah Gerak Geri Gasing dan Afi & Abah.

“Penerbit program kanak-kanak di sana juga mengambil idea dan inspirasi daripada Tom Tom Bak, tetapi menukar nama program iaitu Hom Pim Pa mengikut kesesuaian penonton di sana,” katanya.

Walaupun lebih sedekad dalam bidang pengacaraan, Aznil mengakui pelbagai pengalaman sukar dilupakan ketika kali pertama mengendalikan program Tom Tom Bak.

“Sebenarnya, bukan mudah untuk mengawal tingkah laku kanak-kanak kerana mereka akan melakukan sesuatu perkara tanpa diduga.

“Saya pernah melalui pengalaman ketika melakukan rakaman program kanak-kanak apabila ada yang membuang air kecil dan besar ketika dalam studio.

“Selain itu, ada di antara kanak-kanak yang berjalan dan duduk ketika proses rakaman dilakukan meskipun sudah diberitahu lebih awal,” katanya.

Sebagai pengacara program kanak-kanak, Aznil berkata, dia perlu banyak mengambil hati mereka untuk mengawal sebarang situasi tidak diduga.

“Saya juga perlu bijak untuk mengambil hati kanak-kanak supaya mereka berasa terhibur dengan program dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 10:11 AM