AZNIL dilantik menjadi mentor di Berita 7.57. FOTO Azrul Rafie
AZNIL dilantik menjadi mentor di Berita 7.57. FOTO Azrul Rafie
Sudirman Mohd Tahir


FIGURA terkenal ini bermula sebagai wartawan penyiaran kemudian menjadi pembaca berita, seterusnya beralih ke bidang pengacaraan hinggalah menjadi ikon dunia penyiaran tanah air.

Selama 30 tahun dalam industri hiburan dan penyiaran cukup untuk meletakkan Datuk Aznil Nawawi dalam kelas tersendiri.

Kredibiliti yang dibina membawa jenama Aznil bukan saja dalam negara tapi mendapat pengiktirafan di peringkat Asia menerusi Rancangan Bual Bicara Terbaik (Macam-macam Aznil) pada Anugerah Televisyen Asia 2005.

Seiring dengan usia pembabitan dan pengalaman dimiliki, Aznil, 60, atau mesra disapa Pak Nil mahu memberi fokus dalam melahirkan legasi baharu.

"Saya sudah 30 tahun dalam industri dan mendapat pengiktirafan yang sangat tinggi dalam bidang ini. Apabila saya berada dalam medium baharu sekarang ini, saya masih lagi aktif, tetapi perlu dikenakan dengan penampilan usia dan genre penerbitan. Jadi, saya tidaklah begitu kurang dan masih ada program baharu.

"Kalau ditanya ke mana arah saya ketika ini, saya lebih pada nak melahirkan legasi baharu dan ingin dikenali dan dikenang bukan sahaja sebagai pembaca berita, pemberita atau pengacara,

tetapi saya mahu dilihat sebagai sifu yang mengajar serta membentuk industri penyiaran terutama dalam pengacaraan di Malaysia.

"Stesen televisyen Awesome TV sebenarnya ada menawarkan banyak rancangan kepada saya menjadi

pengacara, tapi saya pinta dengan cara baik dengan memberitahu boleh berikan yang lebih besar daripada itu untuk menghalakan laluan Awesome TV dan di situlah mereka lihat bahawa saya mempunyai peranan untuk membentuk cara pembacaan Berita 7:57," katanya.

Namun, ia tidak bermaksud Aznil juga bekas pengacara program Melodi di TV3 menoktahkan kerjaya pengacaraan.

"Sebagai orang yang berniaga bakat seperti saya perlukan pendedahan. Datuk Seri Vida dan Datuk Aliff Syukri yang sudah mempunyai perniagaan besar perlu juga pendedahan daripada medium media sosial ini disebabkan atas tujuan perniagaan. Perniagaan saya adalah pengacaraan dan bakat. Maka saya perlu jadikan diri saya relevan kepada medium baharu supaya terus relevan dan terus dapat bekerja.

"Ada yang tanya Pak Nil bila nak berhenti saya jawab, saya bukan susu. Saya tak ada tarikh luput. Saya masih aktif, fikiran saya masih laju dan mulut saya masih lancar untuk bercakap dan saya rasa itu adalah senjata saya untuk terus kekal relevan," katanya.

Menurut Aznil, kemunculan media baharu membolehkan dirinya untuk meneroka lebih luas dunia penyiaran selain mendekatkan diri dengan generasi baharu.

"Saya baru mula dengan TikTok jadi macam mana saya nak bersara? Saya sering memberikan 'branding' baharu dan sentiasa mendapatkan nyawa baharu. Saya tengok apa yang berlaku dan tak tarik diri saya keluar dari arus. Misal kata, TikTok sudah ada dan saya masuk ke platform itu.

"Setiap kali bila berada dalam TikTok yang masuk semua adalah pangkat yang boleh panggil anak atau cucu saya. Mereka mempunyai etika yang sangat luar biasa apabila bercakap dengan saya. Saya dapat rasakan saya tidak ketinggalan daripada segi mendekatkan diri dengan perkembangan terkini mengenai media sosial dan itu mungkin perkara yang menjadikan saya dilihat masih relevan untuk berada dalam 'sepak terajang' baharu dunia media.

BERSAMA bersama barisan penyampai berita (dari kiri) Adriana, Nadhra, Dr Mohd Ghazali dan Ain Syuhada. FOTO Azrul Rafie
BERSAMA bersama barisan penyampai berita (dari kiri) Adriana, Nadhra, Dr Mohd Ghazali dan Ain Syuhada. FOTO Azrul Rafie

"Ada yang mungkin sudah bersara ketika usia seperti saya dan yang lebih muda pun ada juga yang sudah bersara, tetapi saya lihat ini adalah perm

ulaan baharu. Ada 'padang permainan' baharu pula yang dibuka untuk saya. Jadi, alhamdulillah saya boleh bertindak dan dilihat besar daripada hanya seorang pengacara TV," katanya.

Kilang bakat

Selain ingin terus menabur bakti dalam bidang penyiaran tanah air, Aznil juga ada misi besar lain dalam melahirkan lebih ramai bakat untuk diketengahkan bukan saja sebagai pengacara, tapi juga dalam cabang seni lain.

"Saya nak jadi kilang untuk melahirkan bintang TV. Idea itu Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas sudah nampak dan kita akan buat pencarian. Semasa saya menjadi juri untuk Dewi Remaja baru-baru ini saya lihat mereka masuk untuk menjadi pengacara dan itulah dia potongan yang mereka dapat. Mereka tak nampak luar daripada itu. Ada lagi yang masih berada di takuk Wan Zaleha Radzi dan Ras Adiba Radzi seperti zaman dahulu dan ada lagi masih melihat itu sebagai potongan dan juga 'craft' untuk menjadi pengacara.

"Dari situ saya kata pencarian ini mungkin sangat bagus dan saya akan campurkan cara bercakap di media sosial dengan cara formal dan yang ini sangat kurang sebenarnya. Untuk menjadi pengacara perlu mahir dalam perkara itu sebab kalau bahagian cakap secara langsung senang, lepas dan fikir kemudian semua orang buat sekarang ini. Untuk memikir dahulu sebelum bercakap itulah yang sukar.

"Jadi, saya akan ajar mereka mengenai 'speak thinking' untuk berfikir lancar dan laju sebelum mengucapkan sesuatu dan perkara ini memang memerlukan guru. Anak kita di sekolah semua tahu cara bercakap adalah seperti di media sosial seperti maki, guna perkataan slanga dan cara bercakap dengan masyarakat dalam media sosial. Tapi apabila suruh memberi pengucapan yang teratur mereka gagal. Jadi, kawalan itu perlu diseimbangkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aznil baru saja dilantik menjadi tenaga pengajar untuk membentuk era baharu penyampaian berita di Berita 7:57 saluran Awesome TV.

"Saya sebagai konsultan saja sepanjang tahun ini. Saya akan terbabit untuk membentuk era baharu penyampaian berita di Berita 7.57. Saya tak jaga isi kandungan berita. Saya hanya melatih pembaca berita untuk berbunyi senada dengan kekuatan dan keseriusan berita yang diberikan. Jadi ia nampak Berita 7:57 itu adalah 'manusia' bukan sekadar medium untuk menyampai tapi tidak senada dengan kandungan.

"Apabila kita buat pencarian dan itu sebenarnya saya akan bentuk mereka bukan terus menjadi pembaca berita pun. Saya akan bentuk mereka menjadi wartawan yang akan turun ke padang dan turun ke masyarakat untuk bersama. Apabila mereka membaca itulah sebenarnya emosi yang disampaikan. Sebab kalau mereka terus datang membaca, mereka tidak bertemu dengan insan susah iaitu yang melalui banjir, mangsa percaturan politik dan mereka tidak terbabit dalam kesakitan rakyat.

"Awesome TV ini adalah permulaan yang baik pada 2022 saya untuk dilihat sebagai pembentuk cara pengacaraan yang mendahului era. Dulu saya bersama Astro selama 20 tahun sebenarnya. Saya masih bertindak sebagai bakat bebas dan muncul di stesen yang memerlukan perkhidmatan saya dan saya juga memilih dalam program yang akan diuruskan. Tetapi untuk Awesome TV ini mereka tidak mengehadkan saya untuk terbabit dengan mana-mana stesen TV lain selain daripada eksklusif untuk pembentukan bakat Awesome TV di balik tabir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 7:00 AM