AZLIN memeriksa ganja yang dirampas dari lima individu yang ditahan. FOTO Norizuan Shamsuddin
AZLIN memeriksa ganja yang dirampas dari lima individu yang ditahan. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


Subang Jaya: Polis menahan lima individu termasuk empat penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan merampas hampir lima kilogram (Kg) ganja dalam dua serbuan berasingan di daerah Subang Jaya, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, serbuan pertama dilakukan di Bandar Sunway pada jam 6.15 petang dan pihaknya menahan tiga lelaki.

Katanya, pemeriksaan fizikal pada tiga lelaki terbabit tidak menemui barang salah.

"Bagaimanapun, pemeriksaan di dalam kereta model MyVi dinaiki suspek menemui empat ketulan mampat dibalut dengan plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja seberat 3.93 kg di tempat duduk belakang.

"Suspek berusia 22, 23 dan 32 tahun terbabit ditahan dan hasil soal siasat membawa kepada satu lagi serbuan di Jalan SS12, di sini, pada jam 10.30 malam, hari yang sama.

"Susulan itu, kita menahan dua lelaki dan hasil pemeriksaan menemui dua ketulan mampat disyaki ganja seberat 1.05 kg di dalam kereta Model Toyota Vios dinaiki suspek berusia 24 serta 27 tahun itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, sebentar tadi.

Menurut Azlin, tangkapan terbabit adalah susulan rampasan dadah bernilai RM33,000 hasil penangkapan 16 individu termasuk dua remaja bawah umur di Bandar Sunway minggu lalu.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan bermula 26 Julai hingga 1 Ogos adalah 21 individu dan 14 daripadanya adalah penuntut IPTS sekitar Lembah Kelang serta dua pelajar sekolah.

"Semua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 1:12 PM