EMPAT ketulan mampat dadah seberat empat kilogram dijumpai dalam but kenderaan.
EMPAT ketulan mampat dadah seberat empat kilogram dijumpai dalam but kenderaan.
Norizuan Shamsuddin


Subang Jaya: Jual dadah ganja untuk tampung hidup mewah. Itu dilakukan penuntut tempatan yang dikesan bekerjasama dengan penuntut warga asing untuk menjalankan perniagaan haram itu.

Taktik itu dikesan susulan penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga tempatan bersama empat ketulan mampat ganja bernilai RM12,000, petang Khamis lalu.

Mereka dicekup sepasukan anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya ketika mahu jual beli ganja di Jalan 14/8E, SS14, di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, suspek ditahan ketika memberhentikan kenderaan di kawasan itu sebelum salah seorang daripada mereka membuka but kereta.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek adalah lelaki Bangladesh berusia 21 tahun, Pakistan (23 tahun) dan seorang warga tempatan (22 tahun).

“Pemeriksaan dilakukan di dalam bonet kenderaan menemui satu beg merah dan terdapat empat ketulan mampat dadah seberat lebih 4 kilogram,” katanya.

Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah kondominium di Jalan SS12/1 Wangsa Baiduri, di sini, jam 11.30 malam hari sama dan menahan empat lelaki warga Senegal serta merampas 24 gram dadah disyaki ganja,” katanya.

Siasatan mendapati tujuh suspek berusia 21 hingga 25 tahun ditahan itu adalah penuntut kolej swasta di sekitar Lembah Klang.

Katanya, hasil saringan air kencing juga mendapati semua suspek positif ganja.

“Mereka direman selama tujuh hari sehingga 11 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 7:48 AM